Diterbitkan pada 24 September 2025, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Akhir Pantun Bertemakan Peribahasa 2025 anjuran DRB-HICOM dan Harian Metro peringkat negeri Selangor menyerlahkan keunikan tersendiri melalui gabungan pantun yang berunsurkan seni lakon yang kreatif, selain memberikan nafas baharu dalam usaha mengangkat warisan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut Ketua Pegawai Komunikasi, DRB-HICOM Berhad, Encik Cairil Irwan Amir menyatakan bahawa kelainan format pertandingan terserlah melalui perjalanan yang bermula secara dalam talian, seterusnya dipersembahkan di pentas fizikal di hadapan barisan hakim dan diakhiri dengan gabungan seni lakon yang kreatif pada peringkat akhir.

Menurut beliau, pertandingan ini bukan sekadar ruang untuk menimba pengalaman baharu, tetapi merupakan medan yang dapat mencungkil serta membina kreativiti setiap peserta.

Usaha ini selari dengan aspirasi DRB-HICOM untuk menyokong pendidikan dan pembangunan sosial dalam membudayakan ilmu untuk membentuk keperibadian insan, malah menyumbang ke arah kemajuan negara pada masa hadapan,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapannya di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP semalam.

Beliau turut memperkenalkan kepelbagaian industri yang diterajui oleh DRB-HICOM, termasuklah sektor automotif, perkhidmatan, hartanah dan pendidikan sebagai pendedahan awal kepada para pelajar tentang peranan organisasi tersebut dalam menyokong pembangunan ekonomi dan pendidikan negara.

“DRB-HICOM bukan sekadar penggerak industri automotif, bahkan tampil sebagai rakan pendidikan dan pemeliharaan warisan bangsa bagi memperkukuh perpaduan kaum,” ujar beliau lagi.

Hal ini membuka peluang kepada DRB-HICOM untuk mendekati para peserta melalui pelaksanaan medium seni pantun yang diyakini mampu membimbing mereka ke arah masa hadapan yang cerah.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa pertandingan pantun yang bertemakan peribahasa ini menjadi wahana untuk memupuk kreativiti dan membangkitkan semangat peserta dalam menghayati warisan bangsa.

Ketua Pegawai Komunikasi, DRB-HICOM Berhad, Encik Cairil Irwan Amir ketika menyampaikan ucapan dalam Pertandingan Pantun DRB-HICOM 2025 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai memaklumkan bahawa pihak DBP merupakan organisasi penting dalam usaha menyokong pelaksanaan program kebahasaan dan kesusasteraan.

“DBP semestinya akan terus memberikan sokongan penuh dalam apa-apa juga program yang dilaksanakan oleh DRB-HICOM bagi memugar kecintaan masyarakat terhadap bahasa dan sastera,” kata beliau.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan kembali inisiatif berkaitan bahasa dan sastera yang pernah dirancang oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB), Dato Seri’ Anwar Ibrahim sewaktu majlis perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2023 sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan warisan bangsa.

“Kenyataan ini merujuk kepada kemajuan yang perlu dicapai oleh masyarakat tempatan tanpa melupakan jati diri dan nilai bangsa termasuklah bahasa dan sastera,” jelas beliau.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Pertandingan Pantun DRB-HICOM 2025 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP.

Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Encik Muhamad Safar Ahmad menzahirkan rasa bangga atas sambutan luar biasa yang diterima daripada pelajar sekolah menengah di seluruh negeri Selangor.

“Sebagai pihak penganjur pertandingan, hal ini adalah kali pertama kami berganding bahu dalam penganjuran pertandingan ini dan penyertaan yang diterima amat menggalakkan,” kata beliau.

Terdahulu, sebanyak 95 penyertaan video pantun melibatkan 48 buah sekolah yang telah menyertai pertandingan ini pada peringkat saringan awal.

“Hal ini menunjukkan satu angka yang cukup membanggakan dan membuktikan bahawa seni pantun masih hidup segar di hati generasi muda kini, sekaligus menjadi medium penting dalam memupuk kreativiti dan memperkasakan jati diri bangsa,” tambah beliau.

Menariknya, penyertaan pada kali ini diserikan dengan kehadiran pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.

“Hal ini jelas membuktikan bahawa seni pantun tidak terikat pada satu kaum sahaja, sebaliknya berupaya menjadi jambatan perpaduan dan wahana budaya bagi masyarakat Malaysia,” tambah beliau lagi.

Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Encik Muhamad Safar Ahmad ketika menyampaikan ucapannya di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP.

Pada masa yang sama, pentas turut dimeriahkan dengan pertandingan pantun bagi peringkat separuh akhir yang menemukan empat sekolah yang bersaing, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, SMK Bukit Sentosa 2, SMK Saujana Utama dan Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari, Subang Jaya.

Berdasarkan keputusan markah penjurian, dua pasukan, iaitu SMA Bestari, Subang Jaya dan SMK Bukit Jelutong berjaya memukau perhatian juri, sekaligus melayakkan diri ke Pertandingan Akhir Pantun Bertemakan Peribahasa 2025 yang berkonsepkan gabungan seni pantun dengan elemen lakonan yang bakal berlangsung pada 29 September di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

SMK Bukit Sentosa 2 meraih tempat keempat dan SMK Saujana Utama berjaya menduduki tempat ketiga dalam Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa Peringkat Negeri Selangor.

Ketua Pegawai Komunikasi, DRB-HICOM Berhad, Encik Cairil Irwan Amir memukul gong sebagai simbolik pelancaran Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa  peringkat separuh akhir diiringi Encik Abang Haliman Abang Julai dan Encik Muhamad Safar Ahmad.

Yang turut hadir dalam pertandingan ini termasuklah Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Encik Mohammad Faisal Abdullah; Barisan Pengurusan Kanan Harian Metro; Barisan Pengurusan DRB-HICOM Berhad; Ketua-ketua Bahagian DBP serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JKNS).

Kredit Foto: Muhamad Shafiq bin Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi