Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu terus diangkat sebagai simbol jati diri nasional, alat perpaduan rakyat, serta bahasa ilmu dan maklumat yang menjadi medium komunikasi rasmi negara.
Demikian penegasan Yang Berhormat (YB) Datuk Abidin bin Madingkir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, ketika membacakan teks ucapan perasmian beliau pada Majlis Penutupan Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kian Kok hari ini.
Menurut beliau, walaupun Sabah begitu istimewa kerana memiliki lebih daripada 30 etnik dengan lebih 80 dialek dituturkan, bahasa kebangsaan tetap menjadi simbol jati diri utama yang perlu dihormati.
Ujar beliau,
Penguasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan sudah terbukti menjadi kekuatan utama kita, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Malaysia secara amnya. Bahasa Melayu mengeratkan hubungan antara kaum, memupuk semangat kekitaan dan menjadi simbol keamanan serta pembangunan negara.
Ccabaran utama dalam menjaga martabat bahasa Melayu kini ialah pengaruh bahasa asing serta penggunaan bahasa rojak dalam media sosial dan komunikasi harian.
Namun begitu, beliau menegaskan usaha ini tidak boleh dilemahkan kerana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa aktif memperkasakan bahasa kebangsaan dengan sokongan daripada semua golongan masyarakat.
Kita tidak menolak kepentingan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris, untuk penguasaan ilmu yang lebih luas. Oleh itu, dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus disokong.
Demikian penjelasan beliau sambil turut mengambil contoh kejayaan Jepun dalam mempertahankan bahasa dan budayanya sehingga menjadi bahasa sains dan teknologi.
Mengulas tentang penganjuran Pertandingan Forum Pelajar, beliau menzahirkan penghargaan kerana program ini sudah berlangsung lebih tiga dekad dan kini memasuki tahun ke-33. Menurut beliau,
Penganjuran program ini lebih tiga dekad lalu telah membuktikan komitmen luar biasa bukan sahaja daripada DBP, tetapi juga daripada warga sekolah termasuk guru dan murid yang sentiasa memberikan sokongan penuh.
Pertandingan tersebut, ujar beliau, memberikan impak yang besar kerana melatih ribuan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul di pentas kebangsaan.
“Melalui forum ini, lahirlah pelajar yang berkebolehan berhujah, mengungkapkan idea bernas, di samping meningkatkan keyakinan diri, semangat berpasukan dan kreativiti. Kebolehan ini penting dalam membina anak bangsa yang berdaya kepemimpinan pada masa hadapan,” tambahnya.