Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Sabah terus mencatatkan sejarah gemilang apabila Sekolah Menengah Kian Kok Kota Kinabalu muncul juara Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2025 sekali gus menghadiahkan negeri itu piala ke-14 sepanjang penganjuran pertandingan sejak tahun 1992.

Kejayaan Sekolah Menengah Kian Kok yang juga merupakan tuan rumah itu menewaskan pesaing dari seluruh negara dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.00 berserta piala pusingan.

Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor.

Naib johan pertandingan menjadi milik Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor yang menerima hadiah wang tunai yang berjumlah RM2,000.00.

Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

Tempat ketiga pula disandang oleh Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.00.

Sementara itu, Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching, Sarawak masing-masing menerima hadiah sagu hati.

Selain hadiah utama, anugerah khas turut disampaikan dalam majlis tersebut. Gelaran Ahli Panel Terbaik diberikan kepada wakil Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00, manakala kategori Pengerusi Terbaik disandang oleh pelajar Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah yang  turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM300.00.

Kategori Pengerusi Terbaik disandang oleh pelajar Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah

Pertandingan forum itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) dengan kerjasama Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Kebudayaan HAN Malaysia serta Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif (PERSPEKTIF).

Tema yang dibawa oleh para pembentang forum umumnya tentang Kecerdasan Buatan, Teknologi, Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Era Digital, Pengurusan Kewangan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dalam ucapan alu-aluan berkata, sebanyak 30 pelajar telah memanfaatkan pentas untuk berforum, melontarkan buah fikiran dan menyampaikan hujah berkaitan isu-isu semasa.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Pencapaian para pelajar hingga ke tahap ini sudah tentu bukanlah sesuatu yang mudah, umpama peribahasa ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’. Kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya tanpa usaha yang gigih.

Beliau turut menekankan tentang peranan guru yang menjadi tulang belakang dalam membentuk minat dan mengasah kemahiran pelajar untuk menyertai pertandingan ini.

Kehadiran para pendidik di dalam dewan ini membuktikan bahawa anda merupakan guru yang hebat, bukan sahaja untuk sekolah bahkan kepada negara.

Dengan kemenangan ini, Sekolah Menengah Kian Kok bukan sahaja mengharumkan nama Sabah, tetapi juga mengekalkan rekod cemerlang negeri itu dalam melahirkan pelajar yang berani berhujah dan mahir berbahasa kebangsaan di pentas nasional.

Kredit Foto: DBP Cawangan Sabah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi