Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan mengemukakan enam ketetapan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pembentangan ketetapan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Khamis.

Menurut beliau, kesemua ketetapan yang ditentukan hasil muafakat daripada perbincangan mendalam dan komitmen semua pihak terhadap matlamat pemartabatan bahasa kebangsaan di negara ini.

Jelasnya lagi, ketetapan tersebut mencerminkan rasa tanggungjawab terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Antara ketetapan yang diketengahkan termasuklah saranan pertama yang melibatkan penubuhan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ketetapan kedua, melantik atase bahasa Melayu bagi setiap kedutaan di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Ketetapan ketiga, menetapkan 80 peratus penggunaan kandungan formatif bahasa Melayu yang tepat dan betul,” katanya.

Tambah beliau, ketetapan keempat membabitkan saranan memohon pertimbangan Kementerian Pendidikan Tinggi mewajibkan penawaran kursus bahasa Melayu dengan syarat wajib lulus bergraduat di semua intitusi pengajian tinggi awam.

Beliau turut menyatakan ketetapan kelima bahawa pakar bahasa dan linguistik Melayu wajar diberikan pengiktirafan rasmi yang membawa gelaran ikhtisas Linguist (Lg).

“Ketetapan keenam, mengangkat tulisan Jawi dalam urusan rasmi di semua agensi Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Penyerahan ketetapan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut diadakan dalam majlis yang sama.

Sesi penyerahan dokumen yang mengandungi enam ketetapan utama Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan.

Ketetapan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan merupakan susulan daripada persidangan meja bulat yang berlangsung pada 24 hingga 26 September di UiTM Shah Alam dengan pelibatan tokoh bahasa, ahli akademik, pemain industri, pakar bidang dan pempengaruh.

Penghasilan enam ketetapan berkenaan berasaskan lima kluster utama, iaitu undang-undang, media massa, pendidikan tinggi, perpaduan dan masa hadapan.

Sementara itu, Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan merupakan anjuran bersama UiTM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia sebagai pentas yang menghimpunkan semua pihak untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi