Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 86 peratus kursus di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kini ditawarkan dalam bahasa Melayu, termasuk bidang strategik seperti undang-undang, pendidikan dan sains sosial.

Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, statistik tersebut membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi denyut nadi ekosistem pendidikan tinggi dan penyelidikan negara.

Menurut beliau lagi, sejak tahun 2020, sebanyak 4000 istilah baharu dimurnikan dan dibakukan serta lebih daripada 120 geran penyelidikan bahasa dan linguistik diluluskan dalam tempoh lima tahun terakhir.

“Bahasa Melayu bukan hanya alat komunikasi tetapi wahana ilmu, budaya dan nilai pemikiran.

“Dalamnya, tersimpan seluruh makna kemanusiaan dan peradaban bangsa, katanya ketika berucap dalam Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Khamis.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa dunia pada hari ini menghadapi gelombang besar revolusi kecerdasan buatan (AI) yang mengubah cara manusia berfikir, bekerja dan berinteraksi.

Kata beliau, bahasa Melayu turut berhadapan dengan cabaran besar dalam ekosistem AI seperti kekurangan data linguistik dan korpus besar dalam bahasa Melayu, dominasi bahasa global, serta penggunaan bahasa rojak dan ringkas dalam media sosial.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa masyarakat tidak harus gusar kerana setiap cabaran membuka ruang kepada kebangkitan baharu.

“KPT melalui Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu 2023–2030 memperkenalkan beberapa pendekatan baharu yang sejajar dengan era digital, iaitu pembangunan korpus digital bahasa Melayu nasional bagi mengumpul berjuta-juta teks, istilah dan frasa Melayu untuk dimasukkan ke dalam sistem AI dan enjin pembelajaran mesin.

“Kolaborasi antara universiti dengan industri AI tempatan bagi menghasilkan model bahasa raya dan aplikasi digital yang memahami konteks bahasa Melayu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata penubuhan pusat bahasa dan AI di IPTA terpilih bakal menggalakkan penyelidikan linguistik berasaskan teknologi, termasuk sintaksis, semantik dan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP).

Bahkan, usaha ini turut merangkumi pemerkasaan dasar e-pembelajaran bahasa Melayu seperti integrasi model bahasa raya dalam platform pembelajaran pintar dan metasemesta pendidikan tinggi.

Tambah Zambry, kesemua inisiatif berkenaan akan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa masa hadapan, iaitu bahasa yang mampu berdiri dalam ruang digital global dengan martabat dan keindahan tersendiri.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa tidak wujud percanggahan antara kemajuan teknologi dengan kelestarian bangsa dan Malaysia berupaya muncul sebagai negara AI yang maju tanpa mengabaikan bahasa sendiri.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi