Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bahasa Melayu kekal sebagai nadi identiti bangsa dan wahana pemikiran kebangsaan yang mesti terus dipupuk dalam jiwa setiap rakyat, seiring dengan usaha memperkukuh jati diri nasional dan perpaduan negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi harian, tetapi turut menjadi bahasa ilmu, budaya dan perpaduan yang memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun bangsa.

Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu utama di semua sekolah dan aliran pendidikan termasuklah sekolah antarabangsa.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kecuaian pelaksanaan di beberapa sekolah antarabangsa dan menegaskan bahawa semua sekolah tersebut wajib memastikan pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan dilaksanakan kepada semua anak Malaysia.

“Kita perhatikan terdapat kecuaian pelaksanaan di 249 sekolah antarabangsa. Sekolah antarabangsa harus memastikan pelaksanaan pembelajaran bahasa Melayu dan kenegaraan kepada semua anak Malaysia,” tegasnya.

Dalam usaha memperkasakan warisan bangsa, kerajaan turut mengumumkan penghidupan semula Hadiah Bahasa sebagai simbol tekad Kerajaan MADANI untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang maruah dan keunggulan tamadun bangsa.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa keutamaan terhadap penguasaan bahasa Inggeris juga akan diteruskan selaras dengan tuntutan global semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi