Diterbitkan pada 12 Oktober 2025, 23:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Perancang Bahasa DBP, Encik Hasanul Isyraf Mohammad ke Majlis Daerah Kampar.

Kampar — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi dan paparan awam.

Kunjungan hormat yang diketuai oleh Perancang Bahasa DBP, Encik Hasanul Isyraf Mohammad itu bertujuan untuk membincangkan pelaksanaan pengesahan dan kelulusan bahasa Melayu bagi papan tanda, iklan serta penamaan rasmi di kawasan pentadbiran MDKpr.

Setiausaha MDKpr, Encik Muhamad Hisham  Hashim yang menerima kunjungan tersebut menyatakan bahawa komitmen penuh pihaknya untuk mempertingkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat pentadbiran. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dengan DBP akan memastikan setiap bahan rasmi MDKpr menepati piawaian bahasa Melayu yang sahih dan berkualiti tinggi.

Dalam sesi perbincangan itu, DBP menekankan tentang kepentingan mengutamakan bahasa Melayu dalam semua bentuk komunikasi rasmi pihak berkuasa tempatan termasuklah papan tanda, laman sesawang dan bahan promosi. Tumpuan turut diberikan terhadap langkah penambahbaikan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan awam.

Sesi perbincangan pihak DBP bersama-sama dengan MDKpr.

Pada sesi sama, DBP turut memberikan penerangan dan demonstrasi penggunaan laman sesawang DBP Sah Bahasa, selain memperkenalkan portal lain seperti Khidmat Nasihat Bahasa, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan JendelaDBP sebagai sumber rujukan utama.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran pandangan dan harapan agar hubungan kerjasama antara DBP dengan MDKpr dapat terus diperkukuh bagi memperkasakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pentadbiran dan penyatuan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi