Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Oktober 2025, 19:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 bertindak sebagai platform yang menghimpunkan para Munsyi Muda Bahasa bagi menyelaraskan gerak kerja pascapentauliahan, serta memperkukuh peranan dan jaringan keprihatinan terhadap bahasa kebangsaan, khususnya dalam konteks perkhidmatan awam.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), YBhg. Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim berkata, penganjurannya turut membina sebuah struktur kolaboratif yang dapat memaksimumkan fungsi Munsyi Muda Bahasa menerusi usaha bersama.

Menurut beliau, struktur berkenaan dipersetujui dalam konvensyen pertama pada tahun 2021 melalui penubuhan Sekretariat Munsyi Muda Bahasa Kebangsaan yang menyatukan seluruh Munsyi Muda Bahasa pada peringkat kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), YBhg. Dato’ Mohd Shaiful Ibrahim ketika menyampaikan ucapannya yang mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

“Struktur ini menjadi pelantar bagi perkongsian idea, pengalaman dan kemahiran antara Munsyi Muda Bahasa merentas kementerian.

“Di lapangan ini, tempat kita menyusun buah fikiran berkaitan dengan Munsyi Muda Bahasa agar langkah selanjutnya menjadi lebih teratur dan terarah,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam Majlis Perasmian Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 di Dewan Serbaguna INTAN, Bukit Kiara.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa ujian sebenar bermula apabila seseorang memegang gelaran Munsyi Muda Bahasa yang menuntut amanah besar untuk memastikan mutu penggunaan bahasa kebangsaan sentiasa tinggi dalam ruang lingkup kementerian atau jabatan masing-masing.

Dalam usaha merealisasikan arahan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam seperti yang termaktub dalam Ceraian PO 1.1.1, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia, beliau menyifatkan bahawa Munsyi Muda Bahasa sebagai titik tumpuan utama rujukan dalam kalangan warga kerja.

Jelas Mohd Shaiful lagi, Munsyi Muda Bahasa merupakan tonggak pelaksanaan program kebahasaan di kementerian atau agensi kerajaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain ilmu asas kebahasaan yang diperoleh daripada Kursus Pembinaan dan Pemantapan Bahasa, mereka perlu menguasai kemahiran komunikasi, kerja berpasukan serta pemikiran kreatif dan kritikal.

“Tema konvensyen ‘Bahasa Kebangsaan, Maruah Watan: Sebelas Detik Perjuangan’ menuntut agar Munsyi Muda Bahasa tidak hanya berpuas hati dengan landasan yang sedia ada,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang usia kewujudan munsyi ini yang kini menginjak tahun ke-11, beliau berkata Munsyi Muda Bahasa sewajarnya merintis denai kematangan dengan berani meneroka ruang dan pendekatan baharu yang lebih strategik dan berkesan.

Bahkan, beliau menyeru para Munsyi Muda Bahasa agar dapat merakyatkan bahasa kebangsaan melalui medium terkini, termasuk mendalami kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan platform baharu untuk menjalankan fungsi Munsyi Muda.

Bagi Mohd Shaiful, keupayaan bahasa Melayu bukan menjadi persoalan ketika ini, tetapi keupayaan penuturnya untuk meningkatkan status penggunaannya, lantas menjelmakan perkhidmatan awam Malaysia sebagai entiti yang berprestasi tinggi dan bernilai pada akhirnya.

“Munsyi Muda wajib memimpin agenda pemasyarakatan istilah, iaitu ejen utama menggunakan istilah sedia ada dan baharu dalam bidang AI, data raya dan teknologi kewangan yang dibentuk oleh DBP serta mendaulatkannya secara meluas.

“Mereka perlu tampil menjadi contoh penggunaan bahasa yang kemas dan berwibawa dalam penulisan ilmiah, laporan teknikal dan persidangan bagi membuktikan bahasa Melayu mampu mendukung ilmu sekalipun sukar,” katanya.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan Perunding Profesional kepada 10 orang Munsyi Muda Bahasa yang menyumbang khidmat khusus sebagai perunding profesional dokumen rasmi kerajaan.

Penyampaian Sijil Penghargaan Perunding Profesional kepada Munsyi Muda Bahasa.

Konvensyen Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025 yang memasuki edisi kedua pada kali ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran sulungnya yang diadakan pada tahun 2021.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengarah INTAN, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBrs. Encik Rusli Harun dan Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa INTAN, YBrs. Dr. Saharah Sapiyi.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi