Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yang Berusaha (YBrs.) Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin telah dipilih sebagai penerima Anugerah Terbaik Akademik Bahasa Melayu 2025 dalam Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu (AABM) 2025 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), semalam.
Menurut KPT, pemilihan tersebut adalah berdasarkan sumbangan luar biasa dan kepakaran beliau dalam bidang Sintaksis, Morfologi, Semantik, Wacana dan Linguistik Korpus.
Bagi dua kategori yang lain, iaitu Anugerah Harapan Akademik Bahasa Melayu dimenangi oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Anugerah Sektor Teknikal Bahasa Melayu dimenangi oleh YBrs. Ts. Nor Mahani Md Rasidi dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Ketiga-tiga kategori ini membolehkan penerima membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM30,000.00 bagi penerima utama, RM5,000.00 bagi penerima kategori Harapan dan Sektor Teknikal, piala iringan serta sijil sebagai manifestasi komitmen KPT terhadap pengiktirafan ilmuwan yang menjunjung bahasa kebangsaan sebagai nadi pemikiran bangsa.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa anugerah ini bukan sekadar acara tahunan tetapi manifestasi komitmen berterusan KPT untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perpaduan dan kemajuan seiring aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan ilmu dan nilai sebagai tunjang pembangunan insan.
Bahasa Melayu bukan sekadar warisan. Hal ini kerana bahasa Melayu adalah nadi ilmu, budaya dan maruah bangsa, sementara setiap ahli akademik harus menjadi benteng terakhir budaya ilmu dan keperibadian bangsa serta pemangkin yang menghidupkan bahasa kebangsaan di menara gading dan pentas antarabangsa.
Tegas Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir lagi,
Bahasa itu jiwa bangsa. Hilang bahasanya, hilanglah bangsa itu.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang Sayembara Deklamasi Sajak dan Sayembara Penulisan Cerpen bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) peringkat KPT serta sesi forum ilmiah sebagai wadah perkongsian pandangan tentang isu semasa dalam memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi asas ketamadunan bangsa Malaysia.

Menurut KPT, AABM merupakan satu pentas penghargaan tertinggi buat warga akademia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, budaya dan tamadun bangsa.
Bertemakan “Bahasa Merentas Zaman: Inovasi Dalam Ilmu dan Budaya,” AABM 2025 mencerminkan aspirasi KPT untuk memastikan agar bahasa Melayu terus hidup dalam inovasi, disegani dalam ilmu, dan dihormati dalam budaya sekali gus menjadikannya sebagai bahasa yang melangkaui sempadan zaman dan teknologi.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azwan Hassan.