Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pasukan pemantun dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) yang mewakili Kementerian Pendidikan melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai johan bagi Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 selepas berjaya menewaskan pasukan pemantun dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, semalam.

Pasukan pemantun JPWPKL bergelar johan Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Kemenangan ini membolehkan pasukan JPWKL membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.00 berserta sijil penghargaan DBP. Naib Johan pertandingan menjadi milik pasukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM3,000.00 berserta sijil penghargaan DBP. Tempat ketiga disandang oleh Kementerian Kewangan yang diwakili oleh pasukan dari Bank Negara Malaysia yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000.00 serta sijil penghargaan DBP.

Naib Johan menjadi milik pasukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

 

Tempat ketiga disandang oleh pasukan Kementerian Kewangan (Bank Negara Malaysia).

Sementara itu, pasukan dari Kementerian Komunikasi (Radio Televisyen Malaysia); Kementerian Kewangan (Lembaga Hasil Dalam Negeri); Kementerian Dalam Negeri (Jabatan Pendaftaran Negara 1); Kementerian Pendidikan (Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-undang) dan Kementerian Dalam Negeri (Jabatan Pendaftaran Negara 2) masing-masing memperoleh kedudukan sagu hati dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.00 serta sijil penghargaan DBP bagi setiap kumpulan.

Selain hadiah utama, anugerah khas untuk Pemantun Terbaik dianugerahkan kepada Encik Salim bin Abdullah dari JPWPKL yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700.00 dan sijil penghargaan DBP.

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Pantun MADANI antara Kementerian Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato’ Mohd Saiful bin Ibrahim yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Beliau yang berucap mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata,

Sayembara ini merupakan cerminan bahawa bahasa ilmu dan bahasa seni bergerak seiring pada landasan yang sama, di samping membuktikan bahawa minda profesional dan birokrat negara kita masih menghargai ketajaman diksi dan kehalusan yang terkandung dalam seni berpantun.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila sebanyak 52 orang peserta dari 13 pasukan mewakili pelbagai kementerian yang memberikan sepenuh komitmen sepanjang pertandingan ini berlangsung.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim ketika menyampaikan ucapannya mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Sementara itu, Pemantun Terbaik, Encik Salim bin Abdullah yang merupakan seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Alam Damai, Cheras ketika ditemu ramah oleh JendelaDBP menyatakan bahawa minat beliau terhadap dunia pantun mulai berputik sejak di bangku sekolah menengah dan diteruskan secara aktif ketika melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau juga menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima apabila dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik.

Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap usaha dan minat saya dalam dunia pantun, malah turut menjadi pembakar semangat untuk terus memartabatkan seni warisan bangsa.

Pemantun Terbaik, Encik Salim bin Abdullah

Tetamu kehormat yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Pengarah INTAN, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri bin Yusoff; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari; Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBrs. Encik Rusli bin Harun; Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa INTAN, YBrs. Dr. Saharah binti Sapiyi; Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Encik M. Azahari bin Edin; Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani bin Omar dan Ketua Bahagian Bakat dan Kepakaran DBP, Puan Nurul Aina binti Borhan.

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi