Diterbitkan pada 15 Oktober 2025, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Onsoi, Kamus! anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah terus mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sebanyak 100 orang murid dari 17 buah sekolah di Sabah menyertai program berkenaan, yang berlangsung di Ruai Utama, DBP Cawangan Sabah pada 16 Oktober 2025.

Sekolah yang terlibat termasuklah SM Sains Sabah, SMK Pekan Telipok, SMK Agama Tun Ahmad Shah, SMK Sungai Damit, SMK Taman Tun Fuad, SMK Sains Sabah, SMK St Mary, SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Likas, SMK Taman Ria, SMK Pulau Gaya, SMK Sanzac, SMK Pengalat, SMK Putatan, SMK Majakir, SM St John, SMK Bandaraya dan SMK Kinarut.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang bidang perkamusan serta menggalakkan penggunaan kamus sebagai sumber rujukan utama dalam pembelajaran bahasa Melayu.

Pemudah cara ketika memberikan perkongsian kepada pelajar.

Menariknya, dua orang pelajar dari Sekolah Menengah Sains Sabah, iaitu Nur Aisyah Atiqah Binti Jasrin dan Siti Ellysha Arissa Binti Jaimis, turut tampil sebagai pemudah cara program tersebut. Mereka berkongsi tentang struktur kamus, entri dan subentri, serta teknik mencari makna perkataan dengan cepat dan tepat. Bukan itu sahaja, mereka turut melakukan demonstrasi pencarian entri dan subentri dengan cepat.

Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Cabaran Cari Entri, Kuiz Kamus Pintar dan latihan mengenal makna berdasarkan konteks ayat yang bertujuan menguji kefahaman pelajar dan memupuk minat terhadap penggunaan kamus.

Sesi penyampaian cenderamata kepada pelajar.

Melihat sambutan yang amat menggalakkan, DBP Cawangan Sabah berhasrat meneruskan lagi pelaksanaan program Onsoi, Kamus! pada masa akan datang bagi memperkukuh budaya celik bahasa dan penggunaan kamus dalam kalangan pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi