Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Poster pemenang.

Kangar-Pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SK Felda Purun yang mewakili Negeri Pahang Darul Makmur telah dinobatkan sebagai Johan Kebangsaan setelah mengalahkan pasukan bahas dari Negeri Melaka di Auditorium Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kangar, Perlis pada hari ini.

Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober 2025. Sebanyak 16 pasukan negeri bertanding termasuk pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan

Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian Penutupan diadakan di Auditorium Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kangar, Perlis.

Perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Sabri bin Haji Mohamad, iaitu Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Haji Ahmad Sabri bin Haji Mohamad berkata,

Walaupun negara berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan pembangunan yang mencabar, usaha untuk membina bakat murid dalam aspek Bahasa Melayu tidak seharusnya diabaikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri serta perpaduan nasional. Penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid perlu dipertingkatkan melalui aktiviti sokongan akademik yang mampu mengasah bakat dan kemahiran bertutur serta berfikir secara kritis dan kreatif. Dalam konteks Bahasa Melayu, kemahiran berhujah dan berbahas merupakan salah satu medium yang sangat berkesan untuk mencungkil bakat serta mengasah keupayaan murid dalam menyampaikan idea bernas dengan yakin dan berstruktur. Pertandingan debat bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi murid, tetapi turut memperkukuh daya pemikiran, semangat berpasukan, serta keterampilan diri mereka.

Pahang diwakili oleh Sekolah Kebangsaan Felda Purun, Bera. Selain dinobatkan sebagai Johan Kebangssan Edisi 2025. Adik Siti Nurnadhira Najwa binti Nazrol telah mendapat tempat 10 teratas Pembahas Terbaik Pusingan Awal dan sebagai  Pembahas Terbaik Pertandingan Akhir.

Pasukan ini dipimpin oleh ketua jurulatih, iaitu Encik Mohd Shukri bin Hussin dan Puan Norfaizah binti Mat Diah Pasukan Pembahas Negeri Pahang terdiri daripada Siti Nurnadhira Najwa binti Nazrol, Aisyah Nadira binti Mohd Azhar, Nur Khairina binti Ahmad Rozi, Nur Imanina binti Mohd Fauzi dan Nur Amani binti Mohd Fauzi.

Menurut Ketua Jurulatih bahas Encik Mohd Shukri bin Hussin,

Seni perbahasan merupakan kemahiran yang cukup penting buat murid sekolah. Walaupun SK Felda Purun berada di kawasan luar bandar dan kawasan Felda, namun anak-anak generasi alfa ini membuktikan bahawa mereka mampu mendominasi pentas bahas kebangsaan. Kejayaan ini merupakan usaha kolektif bersama khususnya barisan kejurulatihan yang komited dan bermotivasi tinggi. Terima kasih atas sokongan dan dukungan semua.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa usaha gigih, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa mampu mengangkat anak-anak Felda ke puncak kecemerlangan. Dari peringkat saringan hingga ke pentas akhir, pasukan ini telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja bijak berhujah, malah matang berfikir dan tinggi nilai keinsanan.

Manakala Guru pembimbing Puan Nurfaizah binti Mat Diah berkata,

Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan barisan pentadbir sekolah, dan PPD Bera atas bimbingan, doa serta sokongan padu yang membawa kejayaan gemilang ini. Sesungguhnya, kejayaan ini bukan sekadar kemenangan di medan pertandingan, tetapi simbol keunggulan pendidikan negeri Pahang di peringkat kebangsaan, selaras dengan Transformasi Pendidikan Pahang dan Aspirasi Pahang 1st!

Pasukan ini dipimpin oleh ketua jurulatih Encik Mohd Shukri bin Hussin dan Puan Norfaizah bt Mat Diah Pasukan Pembahas Negeri Pahang terdiri daripada Siti Nurnadhira Najwa binti Nazrol,  Aisyah Nadira binti Mohd Azhar,  Nur Khairina binti Ahmad Rozi, Nur Imanina binti Mohd Fauzi dan Nur Amani binti Mohd Fauzi.
Tuan Haji Ahmad Sabri bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menyampaikan sijil dan piala iringan kepada Pasukan Johan Kebangsaan SK Felda Purun.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi