Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkukuh ekosistem bahasa, sastera dan penerbitan di negeri ini melalui pelbagai bentuk kolaborasi strategik, termasuklah dalam bidang penerbitan ilmiah, pengembangan bakat penulis muda, serta penyelidikan bahasa dan dialek tempatan Sabah.
Sumbangan dana bagi tujuan pemartabatan bahasa, sastera dan penerbitan dalam bahasa kebangsaan di samping penulisan yang mengetengahkan kearifan tempatan akan diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri.

Demikian antara inti pati ucapan Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Panglima Haji Kadzim bin Haji M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah selaku wakil kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dalam Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025 pada 16 Oktober 2025.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran, YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang bin bin Sariyan, Ahli Dewan Negara, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP dan Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, para pensyarah, para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri Sabah dan sekolah menengah meliputi daerah Papar, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Sebanyak 800 orang memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025 dengan kehadiran dari pelbagai agensi negeri dan persekutuan.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Puan Jennitah binti Noordin, Pengarah DBP Cawangan Sabah memaklumkan bahawa Penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat cinta bahasa yang diterjemahkan melalui pelbagai program bahasa, sastera dan penerbitan.
Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan melalui DBP Cawangan Sabah yang ditubuhkan sejak tahun 1977 menjadi pemangkin dan penggerak utama dalam memperluas kegiatan bahasa dan sastera, di samping berfungsi sebagai jambatan penghubung antara masyarakat, institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam memperkukuh citra bahasa kebangsaan.
Dalam majlis yang ringkas dan bermakna itu, turut diserikan dengan pengisian ilmu Kebitaraan Berbahasa sebagai Medium Pemersatu Etnik di Sabah yang disampaikan oleh Yang YBhg. Profesor Saidatul Nornis bin Haji Mahali dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Selain itu, tayangan video Sekilas Pandang Karnival Bahasa Jiwa Bangsa yang telah berlangsung pada 14 Oktober hingga 16 Oktober 2025 di premis DBP Cawangan Sabah turut diadakan.
Penampilan khas oleh Siti Ellysha Arissa binti Jaimis dan Nur Aisyah Atiqah binti Jasrin dari Sekolah Menengah Sains Sabah yang menjuarai Pertandingan Debat Generasi MADANI (PETAH) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai moderator kebitaran bahasa.