Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Festival Bahasa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berjaya menghimpunkan mahasiswa sebagai manifestasi kecintaan mahasiswa terhadap bahasa Melayu bagi menyerlahkan bakat, kreativiti dan kebolehan demi mengangkat martabat bahasa Melayu menerusi pelbagai pertandingan dan aktiviti.
Festival anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini bermatlamat untuk menyemarakkan penggunaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa IPT.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud, festival ini diadakan bertujuan untuk menghargai bahasa kebangsaan dalam kalangan mahasiswa dan bukan sekadar sebagai alat komunikasi, malah menjadi jambatan ilmu, cerminan akal budi dan medium perpaduan rakyat di Malaysia.
Tokoh yang sentiasa kami sanjungi, iaitu Allahyarham Tun Mustapha bin Datu Harun merupakan contoh seorang pejuang bangsa yang banyak berjasa di negeri Sabah khususnya dalam memperkasakan pembangunan pendidikan dan perjuangan bahasa Melayu sewaktu kepimpinan beliau.
Di bawah kepimpinan beliau, agama Islam diangkat sebagai agama rasmi negeri, manakala bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa rasmi yang mencerminkan semangat perjuangan bangsa yang tulen.
Demikian ujar beliau semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup Festival Bahasa IPT Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat IPT di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM, semalam.
Tambah beliau, pelaksanaan Festival Bahasa IPT yang diadakan secara menyeluruh mampu merentas batas institusi, budaya dan masyarakat berbilang kaum.
Festival ini juga bertepatan dengan agenda besar negara di bawah Dasar Pendidikan Bahasa Kebangsaan 2021-2030 (DBK) yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membangunkan bahasa Melayu seiring dengan perkembangan teknologi kini.
Beliau turut menegaskan bahawa IPT memainkan peranan penting dalam membina teknologi linguistik seperti aplikasi terjemahan dan perisian pembelajaran yang berasaskan bahasa kebangsaan.
“Di sini, kita dapat melihat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut diberi peranan penting dalam usaha membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang berteraskan penggunaan bahasa Melayu, sejajar dengan hasrat memperkasakan bahasa kebangsaan dalam era digital.”
Beliau turut menegaskan bahawa UiTM mempunyai keupayaan yang besar untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan aplikasi berasaskan AI yang mendukung penggunaan bahasa Melayu melalui kepakaran tenaga akademiknya.
Selain itu, beliau turut berharap agar Festival Bahasa IPT 2025 ini menjadi titik tolak terhadap pengembangan bahasa yang segar dan menyeluruh pada peringkat universiti dan menjadi penggerak utama dalam ekosistem sesebuah universiti.
Ujar beliau,
“Saya menyeru agar semua IPT dapat bekerjasama dengan DBP bagi memperluas jaringan kerjasama strategik. Melalui usaha ini, bahasa Melayu berpotensi untuk terus dimartabatkan dan didukung pada peringkat antarabangsa.”

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib menegaskan bahawa sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) merupakan sebahagian daripada gerakan kebangsaan untuk terus menyemarakkan rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dan memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perpaduan dan budaya.
“UiTM akan terus menyambut baik segala usaha yang dilaksanakan secara holistik dalam memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pendukung utama bahasa kebangsaan demi menjaga kelestarian bahasa Melayu sebagai lingua franca.
Kata beliau, UiTM telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif kebahasaan sepanjang tahun 2025 termasuklah Budaya Serantau, Sidang Meja Bulat dan Konvensyen 152 dan Seminar Bahasa yang menjadi platform penting untuk memperkukuh peranan serta martabat bahasa Melayu pada peringkat kebangsaan.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (DBP), YBrs. Tuan Haji Mohamad Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed yang mewakili Ketua Pengarah DBP berkata, DBK merupakan program yang bertujuan untuk menyemarakkan peranan kebangsaan sebagai tonggak pembangunan bangsa, memperkukuh rasa kecintaan terhadap bahasa kebangsaan serta memupuk perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
“IPT sentiasa menjadi keutamaan dalam program pemerkasaan bahasa kebangsaan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa kebangsaan perlu terus mekar di institusi ilmu dan mesti diperkasakan oleh seluruh warga institusi berkenaan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, YBrs. Tuan Haji Mohamad Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed turut menegaskan bahawa pelaksanaan program ini sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan tentang kepentingan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan negara.
“Komitmen ini juga selaras dengan dasar kerajaan yang digariskan dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini yang antara lain menegaskan tentang usaha berterusan bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat, termasuklah dalam sektor pendidikan, pentadbiran awam serta komunikasi rasmi kerajaan,” kata beliau.


Yang turut hadir dalam majlis perasmian penutupan Festival Bahasa IPT 2025 termasuklah Dekan Akademi Pengajian Bahasa, UiTM, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Janudin bin Sardi; Timbalan Dekan Akademi Pengajian Bahasa, UiTM, YBrs. Profesor Madya Dr. Hazlina bin Husin serta barisan akademik Akademi Pengajian Bahasa, UiTM.