Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur menganjurkan Karnival Lestari Bahasa (LESTARI) 2025 bertemakan “Semarak Bahasa Jiwa MADANI” dan “Sayangi Bahasa, Sayangi Negara” di Dataran Platinum Mall, Kota Bharu, Kelantan mulai 23 hingga 25 Oktober ini.
Karnival tiga hari ini mengetengahkan pelbagai program menarik berasaskan bahasa, seni dan budaya tempatan, sekali gus memperkukuh semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.
Antara acara utama yang mencuri perhatian termasuklah Remaja Santun Bersama-sama Syairul Islam Basmullah pada pagi Khamis. Acara ini menampilkan penyampai berita dan ikon belia itu dalam sesi bual bicara santai yang penuh inspirasi bagi menyemarakkan semangat remaja agar terus meminati ilmu, beradab sopan dan berjiwa MADANI.
Pada malam yang sama, pengunjung berpeluang mengikuti Forum Perdana Ehwal Islam “Kurik Kundi Merah Saga” yang menyingkap nilai budi, kasih sayang dan teladan dalam kehidupan seharian. Forum ini menampilkan Dekan Fakulti Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Izhar Arif Kashim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), YBrs. Dr. Fatimah Syarha Nordin serta pendakwah, al-Fadhil Ustaz Izzhar Nazri dan al-Fadhil Ustaz Nabil Ahmad sebagai moderator.
Pada hari Jumaat pula, dua sesi Dialog Kerjaya akan berlangsung, iaitu “Komunikasi Hebat, Kerja Dapat” dan “Pesona Bahasa”. Sesi ini membincangkan peranan komunikasi berkesan serta bahasa sebagai cerminan budi dan kunci kejayaan dalam kerjaya. Personaliti televisyen, YBrs. Dr. Ghazali Taib dan penyampai berita, Ismail Adnan akan mengendalikan sesi dialog ini bersama-sama dengan panel profesional dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Sementara itu, Borak Santai Bersama-sama Pempengaruh Media Sosial dan Usahawan Muda Kelantan pada petang Jumaat bakal menampilkan personaliti popular seperti Abe Mat Ngepek, Yaya Empire, Abbe Hae, Tina Beauty dan Cikgu Jamie, yang akan dikendalikan oleh Ivan Toh Swee Ming. Sesi ini memberikan peluang kepada belia sekitar Kelantan dan Terengganu untuk mengambil inspirasi daripada kisah kejayaan anak tempatan dalam dunia digital dan keusahawanan yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat dalam bidang keusahawanan yang diceburi.
Kemuncak acara pada malam Jumaat akan menampilkan Malam Seni Irama Jiwa dan Dikir Bertingkah, iaitu sebuah persembahan gabungan seni tradisi dan moden yang meraikan warisan seni Melayu melalui nyanyian, muzik dan dikir dalam suasana penuh harmoni.
Bagi penggemar aktiviti riadah, Larian Lestari Bahasa 2025 yang dijadualkan pada Sabtu, 25 Oktober di Platinum, Lembah Sireh turut menanti pengunjung. Acara ini menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah tajaan syarikat Kemudi Timur, termasuk televisyen 55 inci, penyaman udara, peti sejuk dan barangan elektrik lain. Penyertaan dibuka kepada 1,000 orang peserta sahaja dengan yuran sebanyak RM50 termasuk baju, pingat, makanan, beg cenderamata dan nombor larian.
Yang turut memeriahkan program pada hujung minggu ialah Borak Permotoran: “Kenderaan Elektrik Pilihan Masa Kini?”, persembahan Santai Seni oleh buskers tempatan, serta Cabaran Memasak Bersama-sama ADABI yang menguji kreativiti peserta untuk menghasilkan hidangan unik menggunakan produk tempatan dengan hadiah berupa produk ADABI menanti pemenang.
Selain itu, pertandingan mewarna dan pameran interaktif yang berlangsung sepanjang karnival memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada pengunjung daripada pelbagai peringkat umur untuk menyertai dan memeriahkan suasana program.
Karnival LESTARI 2025 bukan sekadar wadah untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya, tetapi juga medium yang mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat dalam majlis ilmu dan kesenian tempatan untuk memupuk perpaduan bangsa.