Diterbitkan pada 1 November 2025, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) turut menyuarakan pandangan agar pemimpin, penjawat awam, penggiat media dan semua pihak menghormati bahasa kebangsaan selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebagai lambang jati diri bangsa serta asas perpaduan.”

Demikian kenyataan Presiden PEMUISI, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim menerusi laman sosialnya pada hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152 jelas menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan wajib digunakan dalam semua keadaan termasuk urusan rasmi kerajaan, komunikasi awam dan penjenamaan program nasional.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan, komunikasi awam, penjenamaan program nasional dan lain-lain adalah wajib dan tidak ada alasan untuk menolaknya,” ujar beliau.

Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim.

Beliau amat kesal dan berpendapat hal tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri yang dilihat memperlekehkan seorang wartawan dalam sidang media Pelancaran Projek Pencahayaan Bandar “I lite U”, baru-baru ini.

Ulas beliau,

Bagi saya, wartawan tersebut hanya menjalankan tugas kewartawanannya dengan mengemukakan soalan yang relevan secara profesional untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dasar penggunaan bahasa kebangsaan dalam program kerajaan.

Tindakan pemimpin tersebut boleh disifatkan seperti suatu ugutan apabila menyatakan beliau akan menghubungi pihak atasan akhbar berkenaan.

Kata beliau lagi,

Tindakan tersebut jelas menunjukkan peranan wartawan itu diperkecilkan, dihina dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Menteri Kerajaan MADANI.

Tegas Dato’ Radzuan, PEMUISI di bawah pimpinannya memandang berat perkara ini dan tidak akan berdiam diri untuk menegur tindakan mana-mana pihak yang bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada, lebih-lebih lagi apabila melibatkan bahasa kebangsaan yang diperjuangkan oleh PEMUISI sejak mula ditubuhkan.

“Saya menyeru semua pihak termasuk kerajaan agar mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam setiap urusan rasmi kerajaan, komunikasi awam dan penjenamaan program nasional.”

“Sepatutnya perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi dipersoalkan dan tidak sekali-kali dipandang remeh, kerana di situlah letaknya jati diri bangsa dan setiap orang harus menghormatinya,” jelas beliau.

Kredit Foto: Facebook Radzuan Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi