Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima menghadap delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Shahzan House, Kuala Lumpur petang semalam.
Delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari berkunjung menghadap KDPB bagi pernyataan hasrat jalinan kerjasama strategik antara DBP dengan kerajaan negeri Pahang.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, beliau menyatakan ucapan penghargaan atas sokongan KDPB Sultan Pahang terhadap usaha pemerkasaan bahasa Melayu khususnya penggunaan tulisan Jawi di negeri Pahang.
Ujar beliau,
DBP berhasrat untuk menerbitkan buku yang berkaitan dengan sejarah negeri Pahang di samping buku yang berkaitan dengan kearifan tempatan Pahang.
Dalam kegiatan bahasa dan sastera, DBP akan meneruskan usaha kajian data leksikal bahasa Orang Asli Pahang serta terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu oleh pihak berkuasa tempatan negeri itu.
Kerjasama erat antara DBP dengan kerajaan negeri Pahang dalam aspek pemerkasaan dan pemartabatan bahasa Melayu khususnya tulisan Jawi amat dekat di hati KDPB Sultan Pahang.

Baginda berpandangan bahawa rakyat perlu mengetahui dan memahami perubahan yang berlaku tentang tulisan Jawi daripada tulisan Jawi klasik kepada tulisan Jawi moden.
Titah Baginda,
Kita perlu ambil cakna tentang perbezaan antara ejaan Jawi lama dengan Jawi moden bagi mengelakkan kekeliruan bagi tujuan transliterasi Jawi.
Bagi ejaan Rumi pula, DBP perlu membuat pemakluman tentang ejaan yang betul bagi perkataan tertentu seperti ejaan Cherating dan Teluk Chempedak sama ada dikekalkan ejaan menggunakan ‘ch’ atau tidak bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat.
Selain itu, DBP turut menyatakan hasrat untuk meneruskan kursus dan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera seperti pelaksanaan aktiviti Bulan Bahasa Kebangsaan, pemerkasaan bahasa di sektor awam dan swasta serta program yang berkaitan dengan kesusasteraan.

Dalam majlis yang sama, YBrs. Dr. Hazami Jahari turut mempersembahkan cenderamata berbentuk bingkai gambar kulit hadapan majalah Dewan Bahasa Bil. 10/2025 yang memaparkan potret KDPB Sultan Pahang sebagai penghias kulit hadapan majalah kepada KDPB Tuanku.
Yang turut hadir dalam majlis menghadap ini ialah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry, Editor majalah Dewan Bahasa, YBrs. Puan Siti Zubaidah binti Sekak, Penolong Editor majalah Dewan Bahasa, YBrs. Puan Nurul Ameera Muhamad Jefri dan pihak DBP yang lain, iaitu YBrs. Encik Muhamad Izzat Mohd Ishak, YBrs. Puan Suhazlina Mohamed Samsudin dan YBrs. Encik Mohd Farid Janudin.