Diterbitkan pada 13 November 2025, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Kerajaan Negeri Sarawak menyokong usaha dan hasrat pemartabatan dan “memuliakan” bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam sistem perundangan syariah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaras dengan usaha sebagai bahasa ilmu dan kenegaraan.

Komitmen itu ditegaskan oleh Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Yang Berhormat (YB) Datuk Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali yang mewakili Timbalan Premier YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dalam Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Beliau berkata, simposium ini bertujuan untuk menjadikan bidang undang-undang tidak bersifat elit kepada pengamal bidang tersebut semata-mata, sebaliknya bidang undang-undang perlu bersifat merakyat dengan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai wahana bagi mencapai matlamat tersebut.

”Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan, iaitu Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak serta Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sarawak dan DBP untuk berkolaborasi ke arah usaha menerbitkan lebih banyak bahan yang berkaitan dengab istilah dan buku yang boleh dijadikan rujukan oleh orang awam, pelajar malah pengamal undang-undang bidang ini. Hal ini bagi membolehkan bahasa kebangsaan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya berdasarkan standard yang telah ditetapkan melalui bahan-bahan yang diterbitkan.,” ujarnya.

Ketua Pengarah DBP Yang Berusaha (YBrs) Dr. Hazami Jahari sangat mengalu-alukan agar pelbagai saranan, pandangan dan cadangan dapat terhasil daripada simposium ini.

Semasa merasmikan Majlis Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah yang menghimpunkan tokoh dan pengamal bidang undang-undang, ahli akademik, pentadbir, dan pelajar yang bertujuan untuk menanam dan menyemai kecintaan dan mewujudkan sikap megah bahasa dalam kalangan semua pihak di negara ini.

Dalam hal ini, beliau yakin dan percaya bahawa DBP sentiasa bersiap siaga bagi penyediaan prasarana berkaitan peristilahan dan juga pakar khususnya dalam bidang undang-undang termasuk bidang syariah serta menawarkan kursus bahasa, dan melaksanakan program yang bersesuaian seperti pertandingan debat dan pidato demi memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pengamal undang-undang khususnya para peguam syarie.

“Usaha murni ini amat penting, kerana kita tidak mahu akses yang berkaitan dengan undang-undang bersifat dwistandard, khususnya yang berkaitan dengan sistem penyampaian, dan keadilan dapat ditegakkan bagi menjamin hak dan keharmonian rakyat Malaysia yang berkaitan dengan syariah juga telah menjadi lebih rencam dan mencabar,” ujar beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan simposium ini amat tepat dan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memberikan dukungan serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada DBP dan jabatan serta agensi yang terlibat untuk pemartabatan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa Mahkamah Syariah dan keseluruhan ranah di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Yang Berusaha (YBrs) Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berkata, bahasa memainkan peranan yang penting dalam pelbagai bidang dan lebih kritikal dalam bidang undang-undang. Bahasa bukan sahaja merupakan alat komunikasi asas terhadap sistem perundangan, tetapi mempengaruhi cara undang-undang difahami, dilaksanakan, dan ditegakkan.

Jelas  tokoh yang turut sama berkongsi idea dan pandangan, termasuklah Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan Yang Amat Arif Dato’ Kamal Bashah bin Ahmad Tajudin. Beliau telah berkongsi hasil pembentangan maka tercetuslah idea untuk melaksanakan satu simposium yang mengkhususkan tentang pemartabatan bahasa kebangsaan di mahkamah syariah.

“DBP sebagai badan kerajaan yang melaksanakan tugas perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, melanjutkan kejayaan pelaksanaan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang di Kuala Lumpur, seterusnya menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah di Kuching, Sarawak. Dengan mengekalkan tema yang sama, Merakyatkan Undang-undang, Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, kita berharap agar dapat membuka satu lagi jalan untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor undang-undang,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau sangat mengalu-alukan agar pelbagai saranan, pandangan dan cadangan terhasil daripada simposium ini. DBP juga amat mengharapkan agar simposium ini akan menjadi wahana untuk perbahasan yang membina, pertukaran idea dan buah fikiran yang konstruktif daripada semua pihak.

“Semoga cadangan dan pandangan yang dicetuskan dapat memberi manfaat besar demi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam dunia perundangan,” jelas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi