Diterbitkan pada 14 November 2025, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah  dengan tema “ Merakyatkan Undang-undang, Memartabatkan Bahasa Kebangsaan” menutup tirainya dengan mengemukakan sembilan resolusi sebagai usaha mengangkat darjat bahasa kebangsaan.

Sesi pembentangan resolusi simposium tersebut disampaikan oleh Lembaga Pengelola DBP yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam.

Resolusi Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah yang digagaskan adalah seperti yang berikut:

  1. Simposium ini mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mempunyai kedudukan yang jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi semua urusan termasuk kehakiman.
  2. Bahasa Melayu wajib menjadi bahasa prosiding mahkamah syariah berdasarkan peruntukan khusus dalam enakmen negeri yang hanya membenarkan penggunaan bahasa lain demi kepentingan keadilan.
  3. Simposium ini mengambil maklum bahawa terdapat pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi bagi memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa mahkamah syariah di Malaysia. Oleh itu, langkah strategik dan proaktif perlu diambil bagi menanganinya secara berkesan.
  4. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi bahasa hukum, bahasa ilmu, bahasa maruah negara dan wahana penyampaian keadilan.
  5. Mahkamah, peguam syarii, pendakwa syarii, dan penggubal undang-undang perlu meningkatkan mutu bahasa dalam penggubalan, penghakiman, hujahan, pemfailan dan dokumen melalui mekanisme semakan bahasa secara formal.
  6. Latihan profesional dalam bahasa Melayu undang-undang perlu diperbanyak bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berbahasa Melayu.
  7. Jawatankuasa Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Syariah perlu ditubuhkan bagi menyelaras dan menyeragamkan istilah dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.
  8. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) harus memperkenalkan istilah syariah dalam bahasa kebangsaan yang betul bagi kursus yang diajar.
  9. Peranan Munsyi Muda (Bahasa) yang sedia ada perlu diperkasakan dan dioptimumkan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak termasuklah DBP, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman yang kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Majlis Peguam Malaysia dan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang telah bergabung tekad dan usaha demi memastikan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah ini dapat berlangsung dengan jayanya di bumi kenyalang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi