Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari ini istilah yang berkaitan dengan buli telah banyak diperkatakan orang. Banyak yang mengaitkannya dengan budaya negatif yang berlaku di institusi pendidikan. Hakikatnya buli  turut berlaku di tempat kerja. Di sesetengah tempat atau negara, buli menjadi isu besar di persekitaran tempat kerja. Menurut tinjauan pendapat YouGov 2015 bagi pihak Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) di United Kingdom sebagaimana yang dikutip oleh Victoria Ramsden dalam artikelnya yang bertajuk “Have you got a bullying culture?” yang tersiar di laman sesawang Chartered Management Institute (CMI) pada 14 September 2021, hampir satu pertiga mereka yang berada di tempat kerja telah dibuli dan yang paling memeranjatkan menurut kenyataan tersebut adalah terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang didakwa berlaku dalam sektor amal dan organisasi terkenal sehingga ada di antaranya telah digantung daripada dibenarkan mengakses pembiayaan bantuan United Kingdom (UK) disebabkan kes buli.

Di Amerika Syarikat sebagaimana menurut pandangan Catherine Bradshaw dalam artikelnya yang bertajuk “We Must Recognize Bullying as a Broad-Ranging Societal Challenge, Not Just Confined to Young People in Schools” yang tersiar di laman sesawang rasmi The 74 America’s Education News Source pada 27 September 2017, buli di negara itu melangkaui kawasan sekolah apabila gejala negatif itu dilihat berkembang seperti satu budaya yang telah dinormalisasikan di mana-mana sahaja seperti sebagai hiburan,  sektor perniagaan dan politik. Hal ini terjadi kerana menurut beliau, masyarakat telah sekian lama disogokkan dengan saluran media yang merosakkan pemikiran dan mencelarukan minda, seperti klip berita yang menunjukkan ahli politik yang berfikiran menyerang yang  bertujuan mengenakan penghinaan dan ancaman; rancangan TV yang menggambarkan perilaku majikan yang berbahasa kesat dan menjerit-jerit kepada pekerja; serta filem yang menunjukkan pelakon beraksi ganas, melakukan penderaan atau kekejaman yang sedikit pun tidak membawa manfaat kepada khalayak penonton terutamanya  kanak-kanak dan remaja melainkan kekeliruan dan kesalahfahaman.

Menurut tulisan Siti Nur Zuraikha Yaacob dalam The Asian Parent pada 1 September 2022, buli merupakan satu perbuatan yang bermaksud hendak mengasari atau mendera orang lain terutamanya yang lemah, sama ada secara fizikal atau psikologi. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kekuatan atau menindas. Hal ini boleh jadi perbuatan fizikal seperti memukul dan menendang, atau perbuatan lisan seperti mengejek dan mengancam, serta boleh juga berlaku dalam talian seperti buli siber.

Selain ingin mempamerkan kekuasaan, menindas yang dimaksudkan di sini juga merujuk tingkah laku ingin menguasai orang lain. Dengan demikian, buli dilihat berdaya memberikan kesan negatif yang mendalam terhadap mangsa, termasuk trauma emosi, masalah kesihatan mental, dan dalam kes ekstrem, tingkah laku yang negatif ini boleh menyebabkan kematian. Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab masyarakat, sekolah dan keluarga untuk memainkan peranan yang sewajarnya bagi mencegah dan menangani masalah buli sama ada melalui pendidikan, kesedaran, dan tindakan yang sewajarnya.

Ario Bimo Utomo ketika menjelaskan makna buli dalam artikel yang bertajuk “Sejarah Perpeloncoan di Indonesia dan Dunia, Bullying Berkedok ‘Tradisi’” dalam Konde.co (2023) membezakan buli dengan perpeloncoan dari segi jangka masa berlakunya peristiwa tersebut. Buli yang juga disebut sebagai rundung manakala perpeloncoan yang lebih popular disebut sebagai ragging mempunyai konteks dan matlamat yang berbeza. Buli selalunya berlaku secara berpanjangan dan tidak mengira konteks manakala perpeloncoan kebiasaannya berlangsung dalam tempoh yang singkat yang dikaitkan dengan minggu orientasi pelajar baru.

Gangguan pula digariskan sebagai tingkah laku yang serupa dengan tindakan yang tidak diingini dan menyakitkan. Hal ini meliputi kelakuan yang tidak diingini termasuklah penderaan lisan, kenyataan grafik atau bertulis, ugutan, serangan fizikal atau kelakuan lain yang mengancam atau memalukan berdasarkan bangsa, warna kulit, agama, jantina, umur, kecacatan atau asal negara pelajar.

Manakala perpeloncoan jika menurut pengertian yang diberikan oleh Collins Dictionaries ialah menarik perhatian secara bermuka-muka dan berterusan terhadap kekurangan atau kelemahan yang didakwa terhadap seseorang. Dalam perspektif masyarakat Inggeris, perpeloncoan ditakrifkan sebagai sesuatu jenaka yang bersifat praktikal kasar.

Secara spesifik, perpeloncoan lazimnya berlaku dalam konteks kegiatan pelajar atau mahasiswa dalam suatu kelompok, yang merujuk pada kegiatan orientasi atau pengenalan yang melibatkan perlakuan kasar, pelecehan, bahkan kekerasan sama ada yang melibatkan fizikal mahupun mental. Alasan untuk menguji komitmen, mental, atau kemampuan pelajar baharu beradaptasi dengan suasana pembelajaran atau lingkungan persekitaran khususnya kehidupan di asrama. Namun begitu, hakikat yang berlaku ialah kegiatan ini jelas mendatangkan kerugian kerana pelajar yang “didera” sudah tentu akan menarik diri daripada meneruskan pengajian, manakala pelajar yang “mendera” jika melampaui batasan akan berhadapan dengan tindakan disiplin atau undang-undang jenayah yang boleh menyebabkan mereka digantung pengajian atau dipenjarakan. Dengan itu, kegiatan sebegini jelas tidak mendatangkan faedah, bahkan bertentangan dengan nilai positif seperti rasa aman dan sejahtera, semangat solidariti, dan keinginan untuk meningkatkan prestasi akademik.

Alasan untuk mempersiapkan mental bagi pelajar baharu adalah tidak munasabah, bahkan boleh mendatangkan mudarat kepada pelajar baharu dari segi tekanan perasaan dan kemurungan. Jika hal ini berlanjutan hingga tahap rundung atau buli, maka pelajar baharu itu tentunya akan mengalami gangguan psikologi seperti trauma dan kegelisahan yang memberikan kesan terhadap pembelajarannya. Adapun alasan untuk mengukuhkan rasa hormat pelajar baharu kepada pelajar lama juga tidak dapat diterima kerana hubungan yang baik dan akrab itu bukanlah tercetus melalui jalan kekasaran atau kekerasan, sebaliknya melalui toleransi dan semangat persaudaraan.

Dapatan menarik yang dikemukakan oleh Kajal Basu dalam tulisannya yang bertajuk Death by Ragging: A Long Global History of Violence yang tersiar dalam The New Indian Express pada 24 Ogos 2023 adalah tentang perpeloncoan yang dipercayai telah menjadi tradisi sejak penubuhan Akademi Plato pada tahun 387 sebelum Masihi. Tradisi yang dimaksudkan merupakan upacara seperti satu perayaan menyambut pelajar baharu, tetapi dengan cara yang unik. Walaupun upacara itu bertujuan untuk mengikat semangat persaudaraan, tetapi sistem yang diketengahkan berupa penindasan dan seksaan ringan yang dikenakan ke atas pelajar tahun pertama. Sistem itu juga disebut sebagai pennalism.

Menurut Kajal, istilah to rag yang berhubungan dengan kegiatan ragging mula digunakan pada tahun 1739. To rag yang bermaksud menyampah, boleh juga diertikan sebagai memarahi dan mencaci. Menjelang tahun 1807, perkataan bullyrag yang bermaksud untuk menakut-nakutkan diperkenalkan dan menjelang tahun berikutnya, perkataan tersebut menjadi slanga popular dalam kalangan pelajar yang bermaksud mengganggu, mengusik dan mengganggu secara kasar. Semuanya bermula apabila persatuan pelajar ditubuhkan secara rasmi dan pelajar senior mula menonjolkan kelebihannya di hadapan pelajar baharu. Jauh lebih awal daripada itu, iaitu di Amerika Syarikat, seorang pelajar telah dibuang kerana bertindak ganas. Kematian pertama di dunia akibat perpeloncoan pula telah didokumenkan pada tahun 1873, iaitu di New York City.

Satu lagi dapatan Kajal yang tidak kurang menariknya adalah tentang sejarah panjang perpeloncoan yang berhubung dengan tradisi ketenteraan. Berbanding perpeloncoan yang berlaku di institusi pengajian tinggi, perpeloncoan yang berlegar di akademi ketenteraan berada di bawah rubrik yang tegar dan tegas. Kemuncaknya adalah ketika berlakunya Perang Dunia I. Apabila perang berakhir, ramai dalam kalangan tentera membawa kisah pahit maung mereka dilanyak ketika mengikuti latihan ketenteraan yang kemudiannya menjadi ingatan kekal walaupun mereka tidak lagi memegang senjata.

Brac University dalam kenyataan rasminya tentang peraturan universiti yang berjudul “Policy and Procedure on Prevention of Campus Bullying, Ragging and Violence” yang diedarkan pada 31 Oktober 2021 mendefinisikan buli sebagai perbuatan yang berulang-ulang yang biasanya dilakukan oleh seseorang yang lebih tinggi dalam kalangan pihak yang berkuasa. Manakala perpeloncoan pula secara amnya ditakrifkan sebagai satu bentuk buli.  Hal tersebut boleh jadi berbentuk lisan, psikologi dan fizikal. Sebarang tingkah laku yang melibatkan ancaman serangan fizikal atau sentuhan fizikal yang agresif diisytiharkan sebagai satu bentuk keganasan.

Riya Singh dalam kertas kajiannnya yang bertajuk “A Study on Ragging and Bullying Issues Faced by Students in College” yang terbit dalam International Journal of Advanced Research in Science, Communication and Technology (IJARSCT) pada tahun 2022 mentakrifkan buli dan perpeloncoan sebagai satu bentuk penderaan yang dilakukan secara berulang-ulang oleh kumpulan senior terhadap kumpulan junior dengan tingkah laku yang agresif dan menyakitkan hati. Penderaan juga boleh berlaku dalam kalangan rakan sebaya dan hal ini sangat menyedihkan apabila perbuatan tersebut boleh berlarutan selama bertahun-tahun yang disahgunakan oleh personaliti yang unggul dari segi sosial untuk menindas individu atau golongan yang lebih rendah.

Anti Bullying Alliance (ABA) merupakan sebuah organisasi yang bukan berorientasikan keuntungan berpangkalan di UK dan menjalankan penyelidikan tentang tema buli di seluruh dunia sejak 30 tahun yang lalu mentakrifkan buli sebagai tindakan mencederakan seseorang atau kumpulan yang berulang-ulang dengan sengaja oleh seseorang atau kumpulan apabila hubungan itu melibatkan ketidakseimbangan kuasa. Menurut takrifan ini, buli boleh berbentuk fizikal, lisan atau psikologi dan boleh berlaku secara bersemuka atau secara dalam talian. Menurut ABA, buli mempunyai tahap tertentu. Apabila tingkah laku yang berbentuk buli ditujukan kepada sasaran yang dilindungi, maka hal tersebut tidak lagi disebut sebagai buli, sebaliknya perlu ditakrifkan sebagai satu bentuk gangguan.

National Bullying Preventing Center (NBPC) yang berpusat di Minneapolis, Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2006 mengangkat tema buli sebagai isu komuniti yang serius yang memberikan kesan terhadap pendidikan, kesihatan fizikal dan emosi serta keselamatan dan kesejahteraan pelajar. Buli didefinisikan sebagai perbuatan agresif yang menggunakan kuasa untuk menyasarkan individu lain dengan perkataan atau tindakan yang berulang dan tidak diingini. Mereka yang menjadi sasaran mungkin berisiko untuk cedera sama ada secara fizikal atau mental, dan sukar untuk menghentikan hal yang berlaku kepada mereka. Dalam konteks ini, kuasa juga boleh berbentuk fizikal, sosial atau emosi. Sebagai contoh, tubuh yang lebih besar secara fizikal, status sosial yang lebih tinggi atau menakutkan dari segi emosi.

Sebagai kesimpulan, perpeloncoan merupakan satu pendekatan buli. Kedua-duanya tergolong dalam bentuk penderaan yang merupakan corak tingkah laku yang boleh menjejaskan fizikal atau mental mangsa yang terlibat. Dengan demikian, hal ini boleh disebut sebagai gangguan yang merujuk pelbagai situasi yang menyebabkan ketidakselesaan, kekacauan, atau masalah. Secara umum, gangguan membawa maksud sesuatu yang mengganggu kelancaran atau keadaan normal sesuatu perkara. Hubungan antara kempat-empat istilah ini boleh dirujuk seperti dalam gambarajah di bawah;

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi