Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Kepong – Program Gamifikasi Wordwall dalam Memperkasakan Pembelajaran Kosa Kata terhadap Murid Tahap 1 Kelas Pemulihan berjaya dilaksanakan di SK Bukit Kepong, Johor, baru-baru ini sekali gus dapat meningkatkan pelibatan, motivasi dan keyakinan murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Pelaksanaan program ini telah memberikan impak yang berkesan terhadap penguasaan kosa kata murid tahap satu kelas pemulihan dengan menjadikan sesi PdP lebih bersifat interaktif dan menyeronokkan.

Program ini dilaksanakan oleh mahasiswa jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh yang mengikuti kursus Komunikasi Perantaraan Komputer.

Objektif utama kunjungan ini adalah untuk mengenal pasti tahap penguasaan kosa kata bahasa Melayu murid tahap 1 kelas pemulihan orang Asli di SK Bukit Kepong serta menganalisis tahap keberkesanan penggunaan Wordwall dalam proses pengajaran dan pembelajaran kosa kata bahasa Melayu.

Fasilitator Program Gamifikasi dalam Memperkasakan Kosa Kata.

Program ini dijalankan sepanjang waktu persekolahan dengan pelibatan sebanyak 15 orang murid orang Asli serta seorang guru pembimbing. Sebanyak lima orang fasilitator yang terlibat bagi memperkenalkan Kaedah Gamifikasi melalui Platform Wordwall dalam Pembelajaran Kosa Kata.

Program gamifikasi ini dimulakan dengan sesi suai kenal antara murid dengan fasilitator melalui aktiviti nyanyian lagu kanak-kanak bagi mewujudkan suasana mesra serta menggalakkan interaksi awal. Setelah itu, murid meneruskan pembelajaran melalui kaedah gamifikasi menggunakan platform Wordwall yang dirangka khusus untuk meningkatkan penguasaan kosa kata secara lebih interaktif dan menarik. Pada akhir program, pelaksanaan ujian penilaian dijalankan bagi menentukan tahap keberkesanan keseluruhan proses pembelajaran.

Fasilitator menggunakan Gamifikasi Wordwall dalam Slot Pengajaran.

Menurut  Guru Besar SK Bukit Kepong, Encik Saiful Rizan bin Abdul Rahman, beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan mahasiswa sebagai inisiatif yang menyokong usaha pengajaran serta pembangunan murid di sekolahnya.

Program seperti ini sangat bernilai kerana platform Wordwall yang kreatif dan inovatif dapat menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan berkesan. Usaha pelaksanaan platform ini juga boleh dijadikan sebagai bahan bantu mengajar kepada guru di sekolah.

Kenyataan beliau memberikan gambaran positif dan momentum kepada usaha inovasi pembelajaran bagi murid di SK Bukit Kepong melalui perancangan praktikal, penilaian terarah dan sokongan yang berterusan.

Program kerjasama antara pihak sekolah dengan wakil pelajar UIAM Pagoh mendapat sokongan penuh bagi mengekalkan dan memperluas inisiatif pelaksanaan Gamifikasi Wordwall melalui latihan, perkongsian sumber dan penilaian bersama demi kebaikan murid-murid SK Bukit Kepong. Usaha ini dilihat wajar diteruskan agar komunikasi bahasa Melayu dalam kalangan murid Orang Asli dapat dikuasai dengan sebaiknya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi