Diterbitkan pada 14 Disember 2025, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh terus memperkukuh usaha memperkasakan bahasa Melayu selari dengan kemajuan teknologi digital melalui penganjuran Program  Eksplorasi Bahasa dalam Era Teknologi Kontemporari (Eksbahtera) oleh Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL), di sini, semalam.

Program ini menjadi wadah strategik yang menyatukan pemerkasaan bahasa, penguasaan teknologi dan pembinaan nilai insan berteraskan aspirasi MADANI serta epistemologi tauhidik yang menjadi teras UIAM.

Program ini melibatkan 96 orang pelajar Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang mengambil kursus BMCO 2107 Pragmatik dan Wacana sebagai fasilitator dan 80 orang peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pagoh.

Kolaborasi antara institusi pendidikan ini mencerminkan usaha bersepadu bagi membentuk generasi pelajar yang berilmu, beradab dan berdaya fikir tinggi.

Aktiviti Optik-Kata yang disertai oleh peserta program.

Bertemakan “Bahasa Diperkasa, Teknologi Dikuasai”, Eksbahtera mengetengahkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran bahasa Melayu secara kritikal, kreatif dan beretika.

Pengisian program dimulakan dengan seminar penggunaan AI untuk meningkatkan penguasaan bahasa yang menekankan keupayaan teknologi sebagai alat sokongan ilmu, bukan pengganti akal dan nilai.

Pendekatan ini selari dengan epistemologi tauhidik UIAM yang meletakkan ilmu, teknologi dan akal manusia di bawah kerangka pengabdian kepada Allah SWT serta tanggungjawab sebagai khalifah.

Aktiviti Cakna-Kata yang diadakan untuk menguji minda peserta.

Program ini dirasmikan oleh YBrs. Dr. Arina binti Johari, yang merupakan penasihat program merangkap Exco Pengajian Tinggi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) negeri Johor, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Puan Nor Saudah binti Said, Penolong Pengetua Kokurikulum SMKA Pagoh.

Pengisian program bercirikan bahasa dan AI ini diterjemahkan melalui lapan aktiviti eksplorasi berteras AI dan teknologi, iaitu Optik-Kata, Lensa Neogenius, Imbas Salah Kata, Unit Transformasi Ayat, AI-Tafsir, AI-Cakna, Minda Cantuman Digital dan AI Penyiasat.

Aktiviti ini dirangka bagi mengasah kemahiran analisis wacana, penaakulan pragmatik dan kepekaan makna, di samping membentuk kesedaran etika dalam penggunaan teknologi digital. Pendekatan ini menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat, keadilan dan kesejahteraan insan dalam ekosistem teknologi.

Melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta bukan sahaja dilatih menggunakan teknologi pintar, malah dibimbing untuk menilai implikasi bahasa, maklumat dan kuasa wacana yang dihasilkan oleh AI.

Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa ilmu, bahasa nilai dan bahasa pemikiran tinggi bagi landskap teknologi kontemporari.

Kemuncak acara diserikan dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, ketajaman analisis dan semangat kerjasama sepanjang aktiviti eksplorasi.

Penganjuran Eksbahtera membuktikan bahawa pemerkasaan bahasa Melayu, penguasaan teknologi dan pembinaan insan MADANI mampu digerakkan secara seimbang berteraskan nilai tauhid, ilmu dan adab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi