Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menegaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib diguna dalam semua urusan rasmi negara. Peruntukan tersebut bukan sekadar menggariskan kewajipan perundangan, malah menzahirkan aspirasi nasional tentang pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang berkongsi satu bahasa sebagai pemersatu. Namun, menjelang tahun 2026, satu persoalan yang terus mengisi wacana kebahasaan ialah tahap sebenar penguasaan warganegara Malaysia terhadap bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu bukan lagi sekadar alat komunikasi asas, tetapi sebagai wahana ilmu, pemikiran, intelektual dan jalinan perpaduan dalam negara pelbagai etnik.

Dalam pelbagai ruang pendidikan dan sosial, tahap penguasaan bahasa kebangsaan masih belum seragam. Di bilik darjah sekolah rendah di pedalaman Sabah, murid terus berusaha memahami asas tatabahasa. Di kelas aliran sains di Kuala Lumpur, pelajar bergelut menulis karangan ilmiah dalam bahasa yang baku. Di sekolah vernakular di pinggir bandar, kemahiran lisan dalam bahasa Melayu masih belum mantap bagi sebahagian murid. Dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi, media sosial dan pendidikan tinggi pula mewujudkan ekologi sosiobahasa yang mencabar peranan bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini, cabaran tidak lagi bersifat retorik, sebaliknya menuntut analisis mendalam yang melibatkan dasar, pendidikan, sikap sosial dan tanggungjawab kolektif seluruh warganegara.

Kerangka Perlembagaan dan Dasar: Kewajipan yang Tegas

Dari sudut dasar dan perundangan, kedudukan Bahasa Melayu ternyata jelas. Antara instrumen utama yang menentukan hala tuju kebahasaan negara termasuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Urusan rasmi kerajaan, dokumen pentadbiran dan segala bentuk komunikasi formal persekutuan wajib disediakan dalam bahasa kebangsaan. Peruntukan ini mengikat semua institusi negara serta menjadi asas pemerkasaan bahasa dalam sistem pendidikan.

Pelaksanaan dasar pendidikan turut memperkukuh kedudukan bahasa Melayu. Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris yang diperkenalkan bagi menggantikan dasar sebelumnya bertujuan mengembalikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik utama tanpa menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang global. Melalui dasar tersebut, subjek ilmu sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di kebanyakan sekolah bagi memastikan murid membina asas pemikiran ilmiah melalui bahasa kebangsaan.

Pengenalan Program Dwibahasa pula menjadi pilihan bagi sekolah tertentu yang membolehkan pengajaran mata pelajaran tertentu diajar dalam bahasa Inggeris. Program tersebut sering mencetuskan perbahasan, namun secara rasmi digariskan sebagai pelaksanaan dasar tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama negara. Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) sebagai rujukan standard penguasaan bahasa untuk semua murid tanpa mengira jenis sekolah. Kerangka tersebut penting sebagai asas penjaminan mutu kemahiran bahasa pada setiap peringkat persekolahan.

Walaupun kerangka perundangan dan dasar kebangsaan kelihatan kukuh, namun realiti sosial menunjukkan wujud jurang yang menuntut perhatian serius. Dasar yang jelas tidak selalu diterjemahkan dengan berkesan dalam bilik darjah atau kehidupan seharian warganegara.

Realiti Sosial: Jurang Penguasaan dan Kelestarian Bahasa

Menjelang tahun 2026, beberapa realiti sosial masih membelenggu keupayaan bahasa kebangsaan berfungsi sebagai agen perpaduan dan penyebaran ilmu. Antara isu utama yang terus dibincangkan termasuklah jurang literasi asas dalam kalangan murid sekolah rendah. Terdapat murid tahun akhir sekolah rendah yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan menulis secara mantap dalam bahasa Melayu. Keadaan ini membangkitkan kebimbangan besar terhadap kemampuan mereka memahami dokumen rasmi, borang kerajaan atau maklumat keselamatan awam pada masa hadapan.

Jurang antara sekolah bandar dengan luar bandar, serta antara sekolah kebangsaan dengan sekolah vernakular turut menambah kerencaman masalah. Di sesetengah sekolah vernakular, penguasaan lisan dan tulisan dalam bahasa Melayu masih belum mencapai tahap yang meyakinkan. Hal tersebut sering dikaitkan dengan isu perpaduan dan integrasi nasional kerana bahasa kebangsaan seharusnya menjadi jalinan penyatuan seluruh warganegara.

Dominasi bahasa Inggeris dalam teknologi, perisian digital, media sosial dan dunia profesional turut mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap nilai ilmu dalam bahasa Melayu. Sebahagian murid dan ibu bapa menganggap bahasa kebangsaan hanya sebagai subjek peperiksaan, sedangkan ilmu sains, teknologi dan kerjaya dianggap lebih dekat dengan bahasa Inggeris. Persepsi ini melemahkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu yang hidup dan dinamik.

Prestasi peperiksaan awam pula memperlihatkan paradoks yang merisaukan. Walaupun keputusan keseluruhan meningkat, analisis kupasan mutu jawapan bagi subjek Bahasa Melayu menunjukkan kelemahan murid berfikir secara kritis, berhujah dengan bernas serta menggunakan bahasa baku dengan ejaan yang betul. Fenomena ini mewujudkan situasi lulus di atas kertas tetapi lemah dalam wacana, sekali gus menjejaskan aspirasi pembinaan masyarakat berpengetahuan melalui bahasa kebangsaan.

Dunia Pendidikan: Antara Beban Tugas dengan Keutamaan Bahasa Ilmu

Golongan guru menjadi benteng hadapan bagi memartabatkan bahasa Melayu. Namun, tugasan mereka sering terbeban oleh keperluan dokumentasi dan pelbagai penilaian yang menyita masa untuk merancang pengajaran kreatif. Dalam banyak keadaan, keutamaan pendidikan tertumpu pada persediaan peperiksaan, sedangkan pengajaran bahasa memerlukan penghayatan, latihan lisan, wacana di dalam kelas dan penulisan reflektif yang berterusan.

Persaingan masa dengan subjek lain serta penekanan terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi sering mengurangkan ruang untuk memperkukuh kemahiran bahasa dalam pelbagai mata pelajaran sedangkan dasar kebangsaan menuntut bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu yang merentas bidang. Kekangan tersebut menyebabkan murid kurang berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti berbahasa yang merangsang pemikiran, seperti debat, penulisan kreatif, pentaksiran berbentuk projek dan wacana ilmiah.

Walau bagaimanapun, terdapat juga usaha yang memberikan kesan positif. Antaranya termasuklah penggunaan akhbar aliran perdana dalam kelas bahasa, program pembudayaan membaca, pertandingan penulisan dan kempen semarak bahasa kebangsaan. Program tersebut membantu mewujudkan ekosistem bahasa yang lebih luas di sekolah, khususnya dalam kalangan murid pelbagai etnik.

Antara Kewajipan Undang-undang dengan Tanggungjawab Sosial

Perkara 152 bukan sekadar peruntukan undang undang, tetapi juga cerminan tanggungjawab sosial seluruh masyarakat. Penguasaan bahasa kebangsaan oleh warganegara tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab individu semata-mata. Sebaliknya, bidang pendidikan, media, keluarga, institusi sosial dan pemimpin masyarakat perlu bersama sama memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam konteks rasmi, berbudaya dan berkualiti.

Sikap sebahagian masyarakat Melayu yang kurang menggunakan bahasa baku dalam ruang rasmi dan media sosial menjejaskan teladan kepada golongan bukan Melayu. Penggunaan bahasa rojak, slanga digital dan percampuran kod secara berlebihan turut melemahkan citra bahasa kebangsaan sebagai bahasa tinggi. Pada masa yang sama, budaya popular yang tidak menampilkan bahasa yang baik menyumbang ke arah persekitaran linguistik yang kurang kondusif bagi membina masyarakat berbahasa berkualiti.

Masalah tersebut juga berkaitan rapat dengan tanggungjawab institusi keluarga. Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak yang membesar tanpa pendedahan terhadap bahasa kebangsaan dalam komunikasi harian akan menghadapi kesukaran memahami teks rasmi dan wacana ilmiah pada usia remaja. Pengalaman di sekolah sahaja tidak cukup bagi melahirkan murid yang benar benar fasih berbahasa baku.

Institusi media pula bertanggungjawab menghasilkan kandungan yang menepati tatabahasa dan mengangkat nilai ilmu dalam bahasa Melayu. Pemimpin masyarakat dan pentadbir syarikat turut mempunyai peranan bagi memastikan bahasa kebangsaan digunakan secara meluas dalam urusan pekerjaan, mesyuarat dan dokumen organisasi.

Menuju 2026: Dari Retorik kepada Tindakan

Pada ambang tahun 2026, keperluan memperkukuh bahasa kebangsaan semakin mendesak. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu bergerak selari dengan slogan dan simbolik terhadap tindakan berasaskan data serta pedagogi yang berkesan. Di sekolah rendah, fokus utama perlu diberikan kepada penguasaan literasi asas melalui pedagogi tersusun dan sistem sokongan untuk murid yang ketinggalan. Bagi sekolah menengah, bahasa Melayu perlu dilihat sebagai wahana pemikiran tinggi yang memupuk keupayaan berhujah dan berwacana.

Pada peringkat pendidikan tinggi, usaha memperluas penerbitan akademik dalam bahasa Melayu perlu dipacu bagi menjadikan bahasa kebangsaan relevan dalam penyelidikan kontemporari. Para pensyarah bahasa perlu digalakkan menghasilkan artikel ilmiah yang mengupas isu baharu dalam sains kemanusiaan dan pendidikan, sekali gus menambah korpus ilmiah dalam bahasa kebangsaan.

Pada peringkat masyarakat, kesedaran tentang bahasa kebangsaan perlu dipupuk melalui kempen media, program komuniti dan usaha berterusan oleh pertubuhan bukan kerajaan. Bahasa Melayu perlu menjadi identiti nasional yang melangkaui garis kaum dan aliran pendidikan. Keupayaan berbahasa kebangsaan bukan sahaja melambangkan keterikatan terhadap sejarah dan budaya, tetapi juga menandakan kematangan seorang warganegara.

Bahasa Melayu bukan sekadar instrumen komunikasi, tetapi asas pembinaan kebangsaan yang menyatukan masyarakat majmuk Malaysia. Menjelang tahun 2026, tugas besar menanti seluruh warganegara untuk memastikan kewajipan perlembagaan terhadap keserasian bahasa kebangsaan dengan realiti sosial. Perkara 152 menegaskan kedudukan yang jelas, namun penghayatannya menuntut tindakan sistematik dan kolektif merangkumi pendidikan, media, keluarga, pentadbir, guru dan seluruh anggota masyarakat.

Hanya apabila seluruh warganegara menguasai bahasa Melayu secara fungsional dan menghargainya secara emosional, barulah bahasa kebangsaan dapat memainkan peranan sebagai wahana ilmu, wadah perpaduan dan simbol identiti nasional yang lestari. Sebagai usaha melangkah ke masa hadapan, maruah bangsa terletak pada sejauh manakah bahasa kebangsaan dihormati, difahami dan dihidupkan pada setiap ruang kehidupan. Melalui komitmen bersama, usaha untuk mengekalkan Malaysia yang bersatu melalui bahasa dapat direalisasikan dengan penuh keyakinan.

Dr. Mohd Zikri Ihsan bin Mohamad Zabhi merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi