Diterbitkan pada 18 Disember 2025, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperkenalkan inisiatif nasional, iaitu Wahana Rintis Semantik Ayat Nasional (WaRiSAN-MELAYU) dalam Majlis Prapelancaran Projek WaRiSAN-MELAYU yang turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UKM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Inisiatif berimpak tinggi ini diterajui oleh UKM dengan peruntukan sebanyak RM8 juta di bawah Belanjawan 2025 sebagai langkah strategik untuk memperkasakan ekosistem kolaborasi kecerdasan buatan (AI) Bahasa Melayu yang berdaulat, selamat dan berteraskan konteks tempatan.

WaRiSAN-MELAYU digerakkan melalui pendekatan kolaboratif merentas pelbagai agensi dan institusi utama negara, termasuk Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM), Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), serta kerjasama terbaharu bersama-sama dengan DBP.

WaRiSAN-MELAYU menjalin hubungan kerjasama dengan RTM, Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara, ITBM dan DBP.

Peranan DBP diperkukuh melalui penyediaan khidmat kepakaran bahasa, termasuklah penyeragaman istilah, pemantauan kualiti linguistik, pengesahan korpus dan pemeliharaan nilai bahasa serta sastera, bagi memastikan pembangunan model AI bahasa Melayu sejajar dengan piawaian bahasa dan aspirasi negara. Kolaborasi ini menjadi asas penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar serta memperkukuh kedaulatan digital dan bahasa.

Teras utama WaRiSAN-MELAYU ialah pengumpulan dan pemodenan korpus bahasa Melayu berskala nasional yang merangkumi korpus DBP, korpus akademik daripada institusi pengajian tinggi, data umum, bahan berita dan media termasuk arkib RTM, serta koleksi buku dan penerbitan. Keseluruhan sumber ini diselaraskan bagi membentuk asas data yang sahih, berautoriti dan mencerminkan penggunaan Bahasa Melayu merentas pelbagai domain ilmu, perkhidmatan awam dan kehidupan masyarakat.

Inisiatif ini turut melibatkan pemantapan infrastruktur pendigitalan bahan bercetak dan mikrofilem yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM, bagi mempercepat pemeliharaan dan pemodenan khazanah ilmu Bahasa Melayu.

Seiring dengan itu, DigitalUKM diperkasa sebagai hab utama pusat data AI yang berfungsi sebagai teras pengumpulan data, pemprosesan, latihan dan pembangunan model WaRiSAN-MELAYU secara bersepadu, selamat dan berdaulat, dengan penekanan kepada pematuhan piawaian keselamatan serta tadbir urus data nasional.

Aspek pemerkasaan bakat menjadi komponen kritikal WaRiSAN-MELAYU melalui pelibatan langsung oleh pakar bidang dan fakulti berkaitan di UKM merentas disiplin. Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM berperanan sebagai hab utama pembangunan bakat AI melalui penubuhan makmal analitik, yang menyokong analisis data berskala besar, pembangunan dan penilaian model, serta latihan kepakaran AI bahasa Melayu secara berterusan. Pelibatan pakar dalam bidang bahasa dan sastera, perundangan, kesihatan, pendidikan, serta Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan pembangunan model bahasa besar bahasa Melayu bukan sahaja mantap dari sudut teknikal, malah tepat dari segi semantik, konteks budaya dan keperluan domain.

Dari sudut aplikasi, WaRiSAN-MELAYU memberikan tumpuan terhadap penggunaan AI Bahasa Melayu dalam bidang bahasa dan sastera sebagai teras pemeliharaan warisan dan pemerkasaan bahasa. Pembangunan dan penerapan AI bagi setiap domain ini dilaksanakan dengan penglibatan langsung pakar bidang daripada fakulti terlibat di UKM, bagi memastikan kesahihan kandungan, ketepatan konteks, pematuhan etika serta kesesuaian aplikasi dengan keperluan sebenar pengguna.

Selain itu, WaRiSAN-MELAYU turut menyumbang terhadap pemerkasaan dasar, polisi dan garis panduan yang berkaitan dengan keperluan perkongsian serta keselamatan data merentas agensi, khususnya bagi menyokong pembangunan dan penggunaan Model Bahasa Besar Bahasa Melayu (LLM-BM) yang selamat, berdaulat dan mematuhi piawaian nasional.

Secara keseluruhan, WaRiSAN-MELAYU dijangka memperkukuh kedaulatan digital dan bahasa negara, mempercepat penerapan AI dalam perkhidmatan awam serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi bahasa nasional. Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersepadu negara untuk membina masa hadapan AI Bahasa Melayu yang berdaulat, inklusif dan berpaksikan identiti Malaysia melalui ekosistem kolaborasi strategik yang mampan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi