Diterbitkan pada 19 Disember 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Gambir – Sekumpulan mahasiswa jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh telah melaksanakan sebuah program intervensi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir yang bertujuan menilai keberkesanan penggunaan gamifikasi Wheel of Games bagi meningkatkan kemahiran bertutur menggunakan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah menengah.

Fasilitator membantu murid Tingkatan 4, SMK Bukit Gambir ketika program berlangsung.

Program intervensi tersebut melibatkan lima orang mahasiswa sebagai fasilitator yang diketuai oleh Muhammad Izzul Akmal Mohamad Halim, bersama-sama 23 orang murid Tingkatan 4 SMK Bukit Gambir. Kesemua aktiviti dirancang secara sistematik bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik, interaktif dan tidak hanya bergantung pada kaedah pengajaran konvensional.

Menurut pihak penganjur, pendekatan gamifikasi ini dilaksanakan sebagai usaha menyokong inovasi dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang sering berhadapan dengan cabaran dari segi motivasi, pelibatan murid serta keyakinan dalam bertutur. Melalui Wheel of Games, murid berpeluang untuk terlibat dalam pelbagai tugasan bahasa yang bersifat spontan, kompetitif dan menyeronokkan.

Gamifikasi Wheel of Games yang digunakan dalam program tersebut.

Ketua fasilitator, Muhammad Izzul Akmal menjelaskan bahawa penggunaan roda permainan yang dipadankan dengan tugasan lisan terbukti membantu mengurangkan rasa takut murid untuk bercakap di hadapan rakan.

Menurutnya,

Gamifikasi ini menyediakan beberapa tugasan yang membantu murid untuk berani bertutur di hadapan sekali gus membentuk keyakinan dan keberanian dalam diri mereka.

Beliau turut menambah bahawa elemen tidak dijangka dalam putaran roda menjadikan murid lebih bersedia untuk mencuba sekali gus menggalakkan penghasilan idea secara kreatif dan spontan.

Program berkenaan turut menerima sokongan penuh daripada pihak sekolah. Pentadbir dan guru SMK Bukit Gambir melihat pendekatan seperti ini sebagai satu usaha yang mampu meningkatkan keberkesanan sesi PdPc serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih aktif dan berpusatkan murid. Pihak sekolah juga menyatakan harapan agar lebih banyak program inovatif seumpama ini dapat dijalankan pada masa hadapan demi memperkukuh kemahiran bahasa dalam kalangan murid.

Secara keseluruhannya, program intervensi ini bukan sahaja memberikan peluang kepada murid untuk meningkatkan kemahiran bertutur, malah turut membuka ruang kepada mahasiswa UIAM untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran komunikasi dalam situasi sebenar.

Hasil awal program menunjukkan bahawa penggunaan gamifikasi mempunyai potensi besar bagi menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu lebih menarik, efektif dan relevan dengan keperluan generasi kini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi