Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh–Sebanyak 21 orang pelajar kursus SCSH 3164 Usrah in Action (Seksyen 519), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya melaksanakan program literasi digital bertajuk “Klik Bijak Desa: Membimbing Komuniti Desa ke Arah Celik Digital” bertempat di Balai Raya Kampung Olak Sepam, hari ini.
Selain memperkasakan literasi teknologi, program ini juga memberikan fokus terhadap pembinaan keyakinan serta aspek keselamatan semasa menggunakan peranti pintar melalui aktiviti seperti “Sedia Klik” dan “Jejak Digital”. Program yang dibimbing oleh YBrs. Dr. Julaina Nopiah selaku penasihat program bertujuan untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk luar bandar, khususnya warga emas.
Katanya,
Inisiatif ini merupakan platform terbaik bagi mahasiswa untuk menyumbang bakti kepada masyarakat. Melalui interaksi ini, pelajar bukan sahaja berkongsi ilmu, malah belajar memahami keperluan komuniti sebagai usaha menuju masyarakat yang inklusif dan celik teknologi.
Pengisian utama program termasuklah sesi ceramah kesedaran keselamatan digital yang disampaikan oleh Inspektor Nur Haida Abdul Rahman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dalam sesi tersebut, beliau menegaskan agar penduduk kampung sentiasa cakna terhadap isu penipuan siber yang semakin berleluasa agar tidak mudah tertipu dengan taktik licik penjenayah siber.

Menurut beliau,
Penduduk perlu lebih berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan panggilan melalui telefon yang meragukan. Sekiranya terdapat individu yang mengaku sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa, langkah terbaik adalah dengan hadir terus ke balai polis yang berdekatan untuk membuat pengesahan segera sebelum melakukan sebarang transaksi atau memberikan maklumat peribadi.
Sementara itu, Ketua Kampung Olak Sepam, Encik Yaakob Abdullah, menyambut baik usaha murni yang dilaksanakan oleh para pelajar UIAM ini. Beliau menyifatkan bahawa program tersebut sebagai langkah proaktif bagi membantu penduduk kampung mendepani arus pemodenan.
Kami sentiasa menyokong usaha sama sebegini kerana program ini memberikan pendedahan dan pengetahuan digital yang sangat diperlukan oleh masyarakat kampung. Ilmu ini semakin penting dalam kehidupan seharian bagi memudahkan urusan seperti urusan kewangan dan semakan bantuan kerajaan tanpa rasa ragu atau takut.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa, dan komuniti setempat adalah kunci utama bagi membina masyarakat yang berilmu dan selamat. Semoga benih pengetahuan yang ditinggalkan oleh para pelajar ini terus berkembang, menjadikan penduduk Kampung Olak Sepam sebuah komuniti yang bukan sahaja celik digital, malah kebal daripada ancaman siber.
