Diterbitkan pada 21 Disember 2025, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dengan kerjasama Akademi Jawi Malaysia (AJM) telah menganjurkan forum bertajuk “Bahasa Melayu: Maju atau Layu?” yang diadakan di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, semalam.

Forum yang dihadiri oleh perwakilan dari tiga negara, iaitu Malaysia, Indonesia, dan Singapura ini mencakupi pelbagai bidang bertujuan untuk menunjukkan komitmen dan keprihatinan PBMUM terhadap nasib dan perkembangan bahasa Melayu.

Menurut pengarah program, Saudara Muhammad Haikal,

Pertemuan antara tiga perwakilan negara, iaitu Malaysia, Indonesia, dan Singapura yang membahaskan tentang wasilah terbaik sebagai usaha penyatuan dalam keadaan ketidaktentuan dunia ini merupakan suatu permulaan yang baik untuk ketiga-tiga negara ini dan negara ASEAN perlu mulai berfikir untuk berpindah daripada persatuan yang terhad oleh negara bangsa kepada tahap persatuan yang berteraskan ketamadunan.

Saudara Muhammad Haikal (tengah) semasa  menyampaikan ucapan pembukaan.

Sementara itu, menurut Amirul Hakim, penulis muda dari Singapura, bahasa perlu berpandukan pada aspirasi masyarakat dan tidak tertumpu terhadap isu identiti dan teknikal semata-mata. Menurut beliau, bahasa merupakan suatu ekspresi kebudayaan dan intelektual.

Amirul Hakim (dua dari kiri) ketika memberikan pandangannya.

Nadira dan Farras, wakil Persatuan Pelajar Indonesia UM (PPIUM) pula beranggapan bahawa bahasa dapat difahami melalui beberapa aspek, iaitu identiti dan pemersatu, ekspresi pemikiran, serta arah untuk hidup sama ada berperilaku baik atau buruk.

Berkenaan autoriti bahasa pula, terdapat ahli panel yang berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah mencapai kemajuan dan ketinggiannya selepas kedatangan Islam di alam Melayu. Para ulama merupakan pelaku penting dalam perkembangan tersebut yang perlu memainkan peranan sebagai penjaga kesucian bahasa. Terdapat juga pandangan bahawa bahasa tidak perlu tertakluk pada autoriti dan penjagaannya bergantung pada masyarakat.

Autoriti bahasa  masih diperlukan tetapi tidak kepada sebuah institusi tunggal yang menyekat penyerapan konsep yang luas. Sebagai contoh, istilah akidah atau istilah sains  tidak seharusnya ditentukan sewenang-wenangnya oleh pakar bahasa. Pakar bahasa dan pakar bidang tertentu perlu bersama-sama memperhalusi kejelasan bahasa supaya perkembangan ilmu dalam bahasa kebangsaan menjadi lebih mekar.

Muhammad Haikal turut menyatakan hasrat PBMUM untuk komited melaksanakan program berkonsepkan keilmuan pada masa akan datang. Ujarnya,

PBMUM untuk beberapa bulan ke hadapan akan mengadakan beberapa program yang berkaitan dengan ilmu. Insya-Allah program akan diadakan pada tahun 2026. Kami berhajat untuk memperkenalkan para ulama dan pujangga di alam Melayu-Nusantara daripada Syeikh Hamzah Fansuri hingga Prof. Syed Naquib al-Attas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi