Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah melancarkan Garis Panduan Bahasa Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) yang merupakan rujukan nasional bagi menyokong komunikasi yang lebih tepat, hormat dan inklusif di media, platform digital dan institusi awam.
Pelancaran ini merupakan langkah penting sebagai usaha untuk menambahbaik cara masyarakat berinteraksi dengan menggunakan bahasa dan visual yang berkaitan komuniti OKU selaras dengan misi CMCF bagi membina masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.
CMCF menekankan bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyampaikan maklumat tetapi juga berperanan besar bagi membentuk persepsi dan sikap masyarakat terhadap golongan OKU.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood, usaha ini membuktikan potensi besar apabila komuniti OKU, industri dan kumpulan advokasi saling bekerjasama.
Jelas beliau,
Bahasa yang jelas dan menghormati membantu meruntuhkan stigma serta membuka pintu bagi OKU untuk diwakili sebagaimana mereka sebenarnya, iaitu sebagai penyumbang, pemimpin dan peserta yang setara dalam kisah kebangsaan kita.
Menurut Beatrice Leong dari Autism Inclusiveness Direct Action Group (AIDA) pula, garis panduan ini digambarkan sebagai langkah awal yang penting untuk mencapai perubahan yang lebih teratur.
Penerbitan ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah representasi yang lebih baik serta penggunaan bahasa yang lebih bertanggungjawab. Dengan rujukan ini, kita boleh memulakan usaha sebenar membina kandungan yang inklusif, saksama dan mencerminkan komuniti yang disasarkan.
Hasbeemasputra Abu Bakar dari SIUMAN pula melihat garis panduan ini sebagai alat penting untuk menormalisasikan penyertaan OKU dalam masyarakat.
SIUMAN berharap garis panduan ini bukan sahaja dapat menggalakkan representasi yang autentik dalam media kita, tetapi juga meningkatkan penyertaan OKU yang lebih besar, supaya kita dapat membantu membentuk landskap media secara setara dengan yang lain.
Ng Lai Thin dari The OKU Rights Matter Project menambah, kejayaan dalam pembangunan garis panduan ini membuktikan bahawa kerjasama yang bermakna dengan komuniti OKU mampu direalisasikan apabila prosesnya direka supaya mudah diakses.
“Berlandaskan konteks budaya dan linguistik kita serta selaras dengan usaha hak OKU pada peringkat global, saya berharap garis panduan ini akan menyumbang ke arah perubahan positif dalam cara kita memperkatakan dan memahami OKU,” ujar beliau.
Garis Panduan Bahasa Inklusif Orang Kurang Upaya kini boleh dimuat turun melalui pautan ini. Pada ketika ini, versi yang tersedia adalah dalam bahasa Inggeris dan dijangka menjadi rujukan penting untuk membina ekosistem komunikasi yang menghormati kepelbagaian serta martabat setiap individu.