Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Penganjuran Program Scienceventure Race 2026 oleh Persatuan Science X-SIS dengan kerjasama Kelab Debat dan Pidato (KDP), UiTM Cawangan Perlis menjadi platform strategik bagi memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat pengajian tinggi.

Sebanyak 72 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti, pusat pengajian dan program di UiTM Cawangan Perlis telah menyertai program yang diadakan pada hari semalam.
Program yang berlangsung di sekitar UiTM Cawangan Perlis itu telah dirasmikan oleh Penasihat Persatuan Science X-SIS, YBrs. Gs. Sharir Aizat Kamaruddin yang menegaskan bahawa penguasaan STEM tidak seharusnya dipisahkan daripada usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian ilmu, pemikiran saintifik dan wacana akademik.

Menurut beliau, Scienceventure Race 2026 dirangka berasaskan pendekatan pembelajaran dan permainan aktif yang menuntut peserta memahami, menganalisis dan mengaplikasikan konsep sains sepenuhnya dalam bahasa Melayu, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa kebangsaan itu untuk berfungsi secara berkesan dalam disiplin STEM.
Tambah beliau,
Program ini membina keyakinan pelajar untuk berfikir secara saintifik, berkomunikasi secara teknikal dan menyampaikan idea sains dalam bahasa Melayu yang tepat dan berwibawa.
Scienceventure Race 2026 merangkumi pelbagai aktiviti fizikal dan mental yang berasaskan elemen penyelesaian masalah, analisis data asas serta perbincangan saintifik secara berpasukan.
Beliau juga berkata, selain menguji kefahaman STEM, aktiviti yang dijalankan turut menekankan penggunaan istilah sains yang betul, penaakulan logik dan keupayaan membuat justifikasi berasaskan fakta dalam bahasa Melayu.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan penguasaan konsep, malah memperkukuh fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa akademik dan profesional,” kata beliau.
Setiap aktiviti dalam Scienceventure Race 2026 turut mengintegrasikan elemen kesusasteraan dan warisan bahasa, apabila peserta diwajibkan menguasai puisi tradisional seperti pantun, penggunaan bahasa istana serta simpulan bahasa bagi melengkapkan setiap titik pemeriksaan (check point) yang ditetapkan.

Integrasi silang antara sains dengan kesusasteraan ini membuktikan bahawa penguasaan STEM dapat diperkukuh melalui keindahan serta ketepatan bahasa Melayu, sekali gus memperluas fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang merangkumi pemikiran saintifik dan budaya tinggi.
Penganjuran Scienceventure Race 2026 ini selaras dengan aspirasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang STEM, tetapi juga mampu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, inovasi dan pemikiran aras tinggi.

Yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Scienceventure Race 2026 termasuklah Presiden Persatuan Kelab Debat dan Pidato, Encik Muhammad Ihsan Fitri Mohammad Fadzil dan Pengarah Program Scienceventure Race 2026, Encik Rosmizul Syukkri Mohd Suhaimi.