Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menjunjung tinggi titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim yang menegaskan tentang kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Presidennya, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ketegasan Seri Paduka Baginda YDPA amat mendesak dalam situasi semasa apabila wujud pihak tertentu yang berani mencabar kedudukan bahasa Melayu. Beliau menegaskan bahawa negara yang berdaulat mempunyai Perlembagaan yang mesti dihormati.
Tambah beliau,
Provokasi oleh segelintir pemain politik sehingga mencabar Perlembagaan Persekutuan boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara. Jangan jadikan bahasa Melayu sebagai alat tawar-menawar dalam percaturan kuasa.
Dr. Mohamad Saleeh berkata, penghormatan kepada titah YDPA juga selari dengan ideologi negara yang ditegakkan melalui Rukun Negara.
Mencabar ‘pasak negara’ hanya akan menyebabkan ketidakstabilan di negara ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, YDPA Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa sistem pendidikan negara ini mesti mengutamakan bahasa Melayu jika mahu dibuat perubahan sekalipun.
Titah baginda lagi, orang yang tidak mahu menerima bahasa Melayu perlu meninggalkan negara ini.