Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Majlis Apresiasi Kokurikulum Peringkat Daerah Hulu Langat Tahun 2024 dan 2025 yang dianjurkan oleh Unit Pembangunan Bakat Murid (UPBM), Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat telah berlangsung di Dewan Anggerik, Bangi Golf Resort sebagai platform menghargai sumbangan pegawai teknikal dalam pembangunan bakat murid.
Majlis ini diadakan khusus bagi memberikan pengiktirafan kepada Pegawai Teknikal dan Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Unit Pembangunan Bakat Murid yang dilantik bagi sesi akademik 2024 dan 2025 termasuk Pegawai Teknikal Bahasa Melayu Sekolah Rendah Daerah Hulu Langat.

Penganjuran majlis ini bertujuan memberikan penghargaan kepada semua Pegawai Teknikal UPBM Kokurikulum dan Ahli Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Kokurikulum (MAPENKO) Daerah Hulu Langat di samping menerapkan keyakinan tinggi dalam pengurusan, mengeratkan hubungan silaturahim serta memperluas pengetahuan dalam pelbagai bidang pembangunan bakat murid.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Sektor Perancangan, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Mohamad Sabri bin Satar yang menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang daerah bagi melahirkan bakat murid berprestasi tinggi.
Jelas beliau,
Saya amat berbesar hati kerana Daerah Hulu Langat amat cemerlang demi melahirkan bakat murid yang bukan sahaja mewakili daerah, malah terus berada di puncak dengan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan dalam sesetengah aktiviti kokurikulum.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa acara yang diterajui oleh Pegawai Teknikal yang cemerlang telah melangkaui sempadan sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan guru tempatan yang berani mengambil inisiatif luar biasa.
Tambah beliau, kemenjadian murid merupakan hasil kerja berpasukan pegawai teknikal, barisan guru dan jurulatih berpengalaman yang didorong kuat oleh kepimpinan Penolong Kanan Kokurikulum serta sokongan berterusan Guru Besar dan Pengetua.
Pegawai Teknikal Bahasa Melayu Sekolah Rendah Daerah Hulu Langat khususnya telah berjaya merancang dan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang menyumbang kepada kejayaan murid dalam bidang deklamasi sajak, bicara berirama, wartawan muda, bercerita dan berbalas pantun dari peringkat daerah hingga kebangsaan.
Sebagai tanda penghargaan, pegawai teknikal terlibat telah menerima sijil penghargaan dan plak bagi mengiktiraf dedikasi serta komitmen berterusan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Penganjuran majlis ini selaras dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia, Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera serta misi melestarikan sistem pendidikan bermutu bagi membangunkan potensi individu demi memenuhi aspirasi negara dan menyokong nilai Malaysia MADANI.