Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya—Jabatan Perikanan Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara menerusi penganjuran program Pemantapan Penulisan Jabatan Perikanan Malaysia yang berlangsung selama dua hari bermula 4-5 Februari 2026 di Dewan Arowana, Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya.
Program anjuran Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) itu disertai oleh 40 orang kakitangan Jabatan Perikanan Malaysia dari seluruh negeri bertujuan untuk meningkatkan kualiti penulisan dan penerbitan buku teknikal jabatan tersebut. Hal ini termasuklah kertas pengembangan, laporan buletin dan rancangan perniagaan agar lebih mantap, tepat dan berwibawa.

Penganjuran program ini dilihat bertepatan dengan titah tegas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersempena dengan pembukaan sidang Parlimen pada 21 Januari lalu yang menegaskan bahawa bahasa Melayu hendaklah dimartabatkan sepenuhnya sebagai bahasa rasmi negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Titah baginda yang menyentuh kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak menolak penggunaan bahasa Melayu telah mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan rakyat.
Sepanjang program, para peserta menerima bimbingan profesional daripada Munsyi Muda Bahasa, Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir yang menekankan tentang aspek ketepatan bahasa, gaya penulisan profesional serta kejelasan penyampaian dalam dokumen rasmi kerajaan. Kaedah menulis dokumen menggunakan bantuan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab juga telah dikongsikan oleh beliau.

Bagi menilai keberkesanan program, ujian prapenilaian dan pascaprogram telah dilaksanakan bagi mengukur tahap pengetahuan awal serta peningkatan penguasaan bahasa Melayu peserta selepas mengikuti latihan intensif tersebut.
Dalam ucapan perasmian, Ketua Cawangan Bahagian Pengembangan Perikanan, Encik Nummeran bin Mohd Nordin menyeru para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh dan membudayakan penulisan profesional dalam pelaksanaan tugas harian demi meningkatkan imej serta kredibiliti jabatan.
Pelaksanaan program ini membuktikan kesungguhan Jabatan Perikanan Malaysia bagi memperkasa modal insan, khususnya dari aspek penguasaan bahasa Melayu dalam penulisan rasmi. Inisiatif sebegini wajar diteruskan dan diperkasakan secara berstruktur bagi memastikan standard dokumentasi jabatan kekal relevan, berkualiti tinggi dan selari dengan keperluan organisasi kerajaan yang semakin kompleks.