Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa dan kognitif, kedua-duanya adalah saling berkaitan rapat. Bahasa berfungsi sebagai alat untuk mengatur, menyatakan dan memproses pemikiran, manakala kognitif mempengaruhi perkembangan bahasa. Kebolehan kognitif seperti ingatan, penyelesaian masalah, dan kawal selia kendiri semuanya dipengaruhi dan memberikan kesan terhadap bahasa.
Proses kognitif asas, termasuk kebolehan lisan dan bukan lisan adalah penting untuk perkembangan bahasa. Sebagai contoh, pemahaman kanak-kanak tentang kekekalan objek, iaitu objek terus wujud walaupun tidak kelihatan mempengaruhi perkembangan perkataan mereka seperti hilang atau tersorok seperti yang dinyatakan oleh penyelidik yang juga merupakan ahli psikologi Swiss, Jean Piaget (1896 – 1980).
Pada masa yang sama, bahasa memainkan peranan penting bagi membentuk kebolehan kognitif, meningkatkan komunikasi dan menyokong interaksi sosial yang akhirnya menyumbang terhadap penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan pembelajaran yang lebih baik, sebagaimana menurut Tessa International School dalam artikel yang bertajuk, “Importance of Language Development in Early Childhood” yang tersiar di laman web institusi pengajian antarabangsa yang berpusat di New Jersey itu pada 19 September 2024. Dengan kata lain, bahasa membantu individu sejak dari usia kanak-kanak untuk menyusun fikiran dan meluahkannya, seterusnya membolehkan mereka memanipulasi idea dan konsep dengan lebih berkesan.
Hubungan antara bahasa dengan kognitif bukanlah bersifat sehala. Pada sisi teknikal, proses kognitif seperti ingatan dan perhatian adalah penting untuk pemprosesan bahasa, manakala bahasa itu sendiri boleh mempengaruhi cara seseorang itu melihat dan mengingati maklumat. Pada sisi praktikal, bahasa menyokong individu menyatakan pandangan dan membentuk pemikiran serta kefahaman terhadap dunia. Kognitif pula melaksanakan fungsi mengkonsepsikan abstrak yang merujuk penaakulan yang akhirnya membantu individu mengorganisasikan pemikiran.
Dalam konteks teori, terdapat pelbagai pandangan yang berbeza untuk meneroka hubungan antara bahasa dengan kognisi. Ada yang berhujah untuk fakulti yang berbeza tetapi saling berkaitan, manakala selainnya menekankan pengaruh bahasa pada pemikiran dan persepsi, seperti hipotesis Sapir-Whorf yang terkenal itu sebagaimana menurut tulisan Richard J. Gerrig dan Mahzarin R. Banaji bertajuk “Language and Thought” dalam kumpulan makalah Thinking and Problem Solving (Second Edition) Volume 2 (1994).
Hipotesis Sapir-Whorf yang juga dikenali sebagai relativiti linguistik, mencadangkan bahawa struktur bahasa dapat mempengaruhi atau menentukan kaedah penuturnya melihat dan mengkonsepsualisasikan dunia. Dengan makna yang lebih mudah, hipotesis ini mencadangkan bahawa bahasa mempunyai kesan yang besar terhadap pemikiran manusia, membentuk pandangan dunia dan mempengaruhi pemahaman manusia tentang realiti.
Sebagai contoh, keupayaan untuk memahami struktur ayat adalah satu keperluan untuk membezakan antara kepercayaan palsu dengan benar yang secara langsung menonjolkan fungsi kognitif bahasa sebagaimana menurut pandangan Khadijat Muhammad Sama dan Abu-Ubaida Sani dalam artikel yang bertajuk “Revisiting the Concept of ‘Language and Cognition’” yang terbit dalam International Journal of English Language and Communication Studies Jilid 4 (2018). Misalnya ungkapan “Lagi suku hingga/sampai sebelas” menggambarkan cara atau bagaimana bahasa boleh diasaskan dalam bentuk skema visual atau sensorimotor.
Walau bagaimanapun, pandangan ahli linguistik analitikal, Noam Chomsky (lahir 1928) tentang hubungan antara bahasa dengan kognitif adalah lebih jauh dan mendalam. Hal ini kerana beliau berhujah dengan menyatakan bahawa bahasa walaupun melibatkan proses kognitif, tetapi bukan sekadar hasil daripada kebolehan kognitif umum seperti pemikiran atau ingatan. Sebaliknya bahasa mempunyai struktur dan prinsip semula jadi yang unik dipanggil sebagai tatabahasa sejagat yang berbeza daripada fungsi kognitif umum sebagaimana menurut temu bual antara Noam Chomsky dengan Robert W. Rieber yang kemudiannya dijadikan artikel bertajuk “The Psychology of Language and Thought Noam Chomsky interviewed by Robert W. Rieber” yang dimuatkan dalam himpunan makalah yang disunting oleh Robert W. Rieber sendiri berjudul Dialogues on the Psychology of Language and Thought terbitan Plenum pada tahun 1983.
Justeru Chomsky mencadangkan bahawa bahasa ialah fakulti minda semula jadi yang khusus, terpisah daripada proses kognitif yang lain seperti pemikiran, penyelesaian masalah atau persepsi. Beliau turut mencadangkan bahawa manusia dilahirkan dengan pelan tindakan semula jadi untuk bahasa dipanggil tatabahasa sejagat yang menyediakan prinsip dan peraturan asas yang mendasari semua bahasa manusia. Pengetahuan semula jadi ini membolehkan manusia dari peringkat kanak-kanak lagi memperoleh bahasa dengan cepat, walaupun terdedah kepada input bahasa yang terhad.
Pada dasarnya, teori Chomsky berpendapat bahawa pemerolehan bahasa bukan semata-mata hasil daripada kecerdasan am atau ingatan. Walaupun kecerdasan dan ingatan pastinya memainkan peranan dalam pemprosesan bahasa, prinsip teras bahasa dipercayai bersifat semula jadi dan khusus untuk bahasa. Teori linguistik Chomsky pula menekankan struktur formal bahasa dengan memberikan tumpuan terhadap peraturan dan prinsip yang mengawal tatabahasa, sintaksis, dan fonologi. Pendekatan ini berbeza dengan pandangan yang melihat bahasa sebagai alat komunikasi atau refleksi pemikiran.
Dengan demikian, Chomsky membezakan bahasa daripada aspek kognitif yang lain, seperti pengetahuan, kepercayaan, dan pemahaman. Walaupun bahasa sudah pasti sebahagian daripada kognitif, namun bahasa mempunyai sistem peraturan dan prinsip uniknya sendiri yang beroperasi secara bebas daripada proses kognitif umum.
Walaupun Chomsky menekankan keupayaan semula jadi untuk bahasa, namun sebahagian ahli bahasa yang lain menyerlahkan peranan pengalaman dan interaksi terhadap pemerolehan dan pembangunan bahasa. Hal ini kerana mereka berpendapat bahawa bahasa dan kognitif bukanlah sistem yang berasingan, tetapi aspek minda yang saling berkaitan. Aspek minda yang menunjukkan bahawa kedua-duanya berada dalam sistem yang sama adalah seperti yang berikut: