Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdapun Chomsky sebagaimana pandangannya yang dinyatakan sebelum ini menekankan bahawa asas biologi semula jadi untuk bahasa yang ditakrifkannya sebagai tatabahasa sejagat mendatangkan kecenderungan kepada manusia untuk mempelajari peraturan tatabahasa tertentu. Oleh sebab itulah sebagaimana menurut Paul Ibbotson dan Michael Tomasello dalam tulisan mereka bertajuk “Evidence Rebuts Chomsky’s Theory of Language Learning” yang tersiar dalam Scientific American pada 7 September 2016, Chomsky cenderung untuk memisahkan bahasa daripada proses kognitif lain dengan melihat bahasa sebagai modul kognitif khusus.
Oleh hal yang demikian, perbezaan antara Chomsky dengan ahli bahasa yang pro terhadap sistem yang tidak terpisah boleh dilihat menerusi jadual yang berikut;
| Ciri atau Aspek | Chomsky | Ahli bahasa yang cenderung terhadap modul yang bersepadu |
| Model | Semulajadi (Nativist) | Berhubungan (Connectionist) |
| Pemerolehan bahasa | Bawaan semula jadi | Pembelajaran melalui pengalaman |
| Teori | Semua bahasa mempunyai struktur asas yang sama | Pembangunan bahasa adalah produk komunikasi |
| Penekanan | Peraturan formal tatabahasa membentuk bahasa | Persekitaran seperti interaksi dan pengalaman membentuk bahasa |
| Kedudukan kognitif | Fakulti yang berbeza dengan bahasa (terpencil) | Fakulti yang sama dengan bahasa (bukan terpencil) |
Alasan yang dikemukakan oleh penolak hujah Chomsky bagi mempertahankan pandangan bahawa kognitif berada dalam fakulti yang sama dengan bahasa adalah menerusi contoh individu yang mengalami kecacatan atau kelewatan kognitif yang menunjukkan bahawa walaupun perkembangan bahasa mungkin tertangguh atau terjejas, namun tidak semestinya kebolehan kognitif yang mendasarinya tiada. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa ketidakupayaan bahasa tertentu mungkin memberikan kesan terhadap aspek bahasa tertentu, tetapi fungsi kognitifnya yang lain kekal utuh. Sebagai contoh, sesetengah individu yang mengalami Sindrom Down mungkin mengalami perkembangan bahasa yang tertangguh, tetapi kebolehan kognitif keseluruhan mereka selalunya berada dalam julat normal. Keadaan ini menyerlahkan kepentingan kemahiran kognitif umum bagi pemerolehan bahasa dan mencadangkan bahawa bahasa bukan semata-mata modul kognitif terpencil.
Satu lagi alasan yang diberikan adalah tentang kesedaran spatial yang menunjukkan bahawa kemahiran kognitif diperlukan untuk mempelajari bahasa. Kesedaran spatial, juga dikenali sebagai kesedaran ruang badan, ialah keupayaan untuk memahami dan melihat hubungan antara badan dengan persekitaran. Hal ini merupakan pemahaman tentang tempat badan yang berada di dalam ruang yang memerlukan kemahiran untuk bernavigasi, bergerak dan berinteraksi dengan dunia di sekelilingnya. Contoh paling mudah tentang kesedaran spatial adalah seperti membaca peta, membina prasarana dan menavigasi persekitaran yang kompleks.
Alasan berikutnya ialah pengaruh faktor budaya dan sosial terhadap bahasa yang menunjukkan bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyatakan fikiran, tetapi juga cerminan struktur budaya dan sosial. Cara bercakap, perkataan yang digunakan, dan makna yang dilampirkan padanya dibentuk oleh konteks sesuatu budaya. Bahkan kajian silang budaya juga telah mendedahkan bahawa bahasa boleh berbeza dengan ketara dari aspek struktur dan fungsinya. Hal ini bergantung pada nilai budaya dan kepercayaan masyarakat bahasa yang menunjukkan bahawa bahasa bukan semata-mata hasil daripada proses kognitif semula jadi, tetapi juga pengaruh sosial dan budaya.
Sebagai contoh, bahasa Pirahã yang tidak mempunyai konsep nombor, menunjukkan bahawa norma budaya boleh mempengaruhi struktur dan penggunaan bahasa. Bahasa Pirahã ialah bahasa yang unik dan terpencil yang dituturkan oleh orang Pirahã yang tinggal di lembangan Amazon Brazil. Bahasa ini dianggap sebagai satu daripada bahasa semula jadi yang paling mudah dengan ciri yang tersendiri seperti tidak mempunyai perkataan bukan sahaja untuk nombor, tetapi juga warna, kala lampau atau masa hadapan. Bahasa Pirahã juga merupakan bahasa tonal, yang bermakna nada boleh mengubah makna sesuatu perkataan. Dapatan ini sekali gus mencabar teori tatabahasa sejagat yang mencadangkan bahawa semua bahasa berkongsi struktur asas yang sama.
Alasan selanjutnya ialah bahasa disepadukan secara mendalam dengan proses kognitif umum, makna dan tatabahasa menerusi pengalaman manusia. Dengan kata lain, perspektif peranan kognitif mempunyai fungsi yang sangat besar bagi membentuk struktur dan makna bahasa sebagaimana menurut kajian Marco Mirolli dan Domenico Parisi yang bertajuk “Language as a Cognitive Tool” yang terbit dalam Minds and Machines keluaran November 2009. Golongan ini turut mencadangkan bahawa pemerolehan bahasa bukanlah proses menghafal peraturan semata-mata, tetapi lebih kepada proses mencipta dan menyesuaikan representasi mental bahasa berdasarkan pengalaman. Pandangan ini disokong oleh kajian tentang cara kanak-kanak mempelajari bahasa yang menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja meniru ayat, tetapi juga menghasilkan ayat baharu berdasarkan pemahaman mereka tentang pola bahasa.
Adapun faedah kognitif yang lebih besar boleh dicapai menerusi pencapaian kepelbagaian bahasa. Menurut kajian Antonio Benítez-Burraco bertajuk “The Cognitive Science of Language Diversity: Achievements and Challenges” yang tersiar dalam Cognitive Processing (2025), faedah ini boleh dikategorikan secara meluas kepada fleksibiliti kognitif yang dipertingkatkan, penyelesaian masalah dan pemikiran kritis yang lebih baik dan peningkatan kesedaran tentang pelbagai perspektif.
Berkenaan dengan fleksibiliti kognitif, penyelidikan mencadangkan bahawa mempelajari pelbagai bahasa boleh meningkatkan fleksibiliti kognitif, iaitu keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan situasi baharu dan bertukar antara tugas kognitif yang berbeza. Kemahiran dalam kepelbagaian bahasa selalunya menunjukkan fleksibiliti kognitif yang lebih besar berbanding dengan monolingual yang dengan ketara menunjukkan keupayaan untuk beralih secara mental antara bahasa dengan corak pemikiran.
Tentang penyelesaian masalah dan pemikiran kritis, multilingual dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis. Usaha kognitif yang terlibat dalam pembelajaran dan menggunakan pelbagai bahasa boleh mempertajamkan kebolehan mental dalam bidang ini. Pendedahan terhadap pelbagai bahasa dan budaya pula dapat memupuk pemahaman yang lebih luas tentang dunia dan penduduknya. Keadaan ini boleh membawa kepada peningkatan empati, pemikiran global, dan perspektif yang lebih bernuansa tentang pelbagai isu sosial dan budaya. Ringkasnya, pencapaian kepelbagaian bahasa yang merujuk faedah kognitif yang diperoleh melalui pembelajaran dan interaksi dengan bahasa yang berbeza menyokong fleksibiliti kognitif yang lebih baik, penyelesaian masalah yang dipertingkatkan dan pemahaman yang lebih luas tentang pelbagai perspektif.