Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJeli – Pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya merangkul kejuaraan bagi Pertandingan Debat antara Asasi (PeDAA) Universiti Awam Tahun 2026 bagi kategori bahasa Melayu selepas menewaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada peringkat akhir yang berlangsung di UMK, semalam.
Kemenangan ini membolehkan UIAM membawa pulang piala pusingan, wang tunai sebanyak RM2,500.00 tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan hadiah iringan berupa buku terbitan DBP.
Naib johan disandang oleh pasukan debat UMK dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000.00, trofi dan hadiah iringan buku terbitan DBP.
Anugerah khas turut disampaikan dalam majlis tersebut kepada Pendebat Terbaik, iaitu Muhammad Faris Fitri bin Yusnizam dari UIAM. Beliau berjaya membawa wang tunai berjumlah RM300.00, trofi serta hadiah iringan berupa buku terbitan DBP.

Majlis Penutupan PeDAA 2026 disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah.
Terdahulu, PeDAA Universiti Awam Tahun 2026 telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada 15 Februari 2026 di UMK dengan membawa tema “Kebijaksanaan Belia, Kecemerlangan Negara”.
Sepanjang pertandingan berlangsung, sebanyak 24 pasukan daripada universiti awam, politeknik dan kolej matrikulasi menyertai pertandingan debat bagi kategori bahasa Melayu, manakala sebanyak 20 pasukan bagi kategori bahasa Inggeris.
Berdasarkan rekod, PeDAA merupakan pertandingan anjuran Majlis Dekan dan Pengarah Asasi (MDPA) Universiti Awam dengan kerjasama Pusat Pengajian Asasi, UMK dan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPKSR) dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan kritis dalam penghujahan berilmiah, mengasah bakat terhadap kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerjasama berkumpulan selain meningkatkan keyakinan dan keberanian dalam seni pengucapan awam, khususnya dalam kalangan pelajar asasi.
Yang turut hadir dalam majlis penutupan tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.