Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Suasana ceria dan penuh meriah mewarnai Pentas Utama AEON Mall Kota Bharu, Kelantan apabila berlangsungnya Pertandingan Mewarna yang bertemakan “Anak Cilik Sayangi Bahasa”. Sebanyak 50 orang kanak-kanak daripada 10 buah tadika swasta sekitar Kota Bharu telah menyertai pertandingan ini.
Pertandingan mewarna ini diadakan bagi mencungkil bakat kreatif kanak-kanak, di samping memupuk minat mereka terhadap aktiviti seni sejak dari kecil. Melalui pertandingan ini, para peserta diberi peluang untuk melakarkan kreativiti masing-masing melalui penggunaan warna yang sesuai dan menarik pada lukisan yang disediakan. Selain menggalakkan perkembangan daya imaginasi, aktiviti seperti ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran seni dalam kalangan kanak-kanak.
Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Ramadan Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2026 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan AEON Mall Kota Bharu, Kelantan. Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada SMOBookstore.
Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail,
Program ini turut menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan sektor swasta dengan DBP dalam usaha menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan serta mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat.
Majlis penyampaian hadiah turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. Encik Mohd Afnan Mohd Yusof, iaitu Pengurus Aeon Mall, Kota Bharu dan YBrs. Encik Nazrol Afendi Ab Rahman, iaitu Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
Johan pertandingan mewarna pada kali ini menjadi milik adik Olivia Lau Jing Ern, dari Tadika Peir Chih, Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh adik Irdina Aleesya dari Tadika Didik Soleh dan adik Khayla Sofea Izwan dari Tadika Wadi Sofea.
