Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMerlimau – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengambil langkah proaktif memperkasakan penyampaian maklumat organisasi menerusi penganjuran Kursus Penulisan Buletin Berkesan (Siri 2) bertempat di Dewan Latihan As-Syafie, baru-baru ini.
Inisiatif anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK) ini bertujuan untuk memastikan setiap pencapaian institusi didokumentasikan dalam bentuk bahan bacaan yang ringan, informatif dan mudah difahami oleh masyarakat luar serta warga
Objektif bagi penganjuran kursus ini menumpukan penguasaan teknik penulisan sistematik yang selaras dengan tuntutan media semasa yang memerlukan kepantasan dan ketepatan maklumat.
Penyertaan yang melibatkan sebanyak 20 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan teknikal dan bukan teknikal ini dibimbing secara langsung oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henry.
Puan Nurul Julia dalam kursus tersebut turut menekankan kepentingan penggunaan laras bahasa yang tepat dan gaya penulisan yang berkesan. Beliau memuji usaha PMM yang telah berjaya menerbitkan e-buku Ceritera Inspirasi Jabatan Pengajian Am (InsPenA).
“Usaha Ketua Editor, Puan Nur Farhana Misno bersama-sama dengan pasukan sidang redaksi merupakan satu pendekatan baharu melalui kaedah penulisan bersegmen yang diselaraskan dengan Indikator Prestasi Utama (KPI) institusi,” jelas beliau.
Ketua Unit Komunikasi Korporat PMM, Ts. Dr. Maria Mohammad, dalam ucapan penutupnya menyeru agar para peserta membudayakan penulisan yang santai, namun tetap profesional bagi memperkukuh imej korporat PMM.
Komitmen berterusan yang bermula sejak siri pertama pada Disember 2025, telah membuktikan PMM serius dalam usaha menjadikan penulisan sebagai medium penyampaian ilmu dan idea yang berimpak tinggi.
Hal ini selaras dengan pepatah Arab yang menyatakan bahawa “ilmu ibarat haiwan buruan, manakala tulisan merupakan ikatan yang mengekalkannya.”