Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Karya drama radio Ramadan terbitan Terengganu FM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bertajuk Sembuh bakal melabuhkan tirainya menerusi episod akhir yang dijadualkan pada 19 Mac 2026 pukul    3.45 petang.

Drama Sembuh merupakan hasil karya penulis prolifik, iaitu Ramlah Latiff atau lebih dikenali sebagai Indah Hairani yang berasal dari negeri Terengganu. Plot cerita berkembang menerusi watak Alex, seorang pelajar universiti bukan Muslim yang menyewa di kawasan kampung tersebut.

Dalam drama tersebut, watak Mak Hawa diperlihatkan sebagai figura ibu yang hidup dalam kesepian, dengan rutin harian menanti kepulangan anaknya ke desa. Situasi ini mencetuskan rasa bersimpat Alex terhadap Mak Hawa walaupun tindakannya sering dianggap berlebihan oleh rakan-rakannya.

Konflik cerita memuncak apabila watak Dalina dan Zaha yang digambarkan hidup berjauhan di bandar akibat kesibukan kerja dan pertelingkahan antara satu sama lain.

Menjelang episod akhir, Alex bertekad untuk menemani Mak Hawa agar tidak menyambut Aidilfitri keseorangan dan kesunyian. Kehadirannya yang segak berpakaian baju Melayu pada pagi Syawal memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada Mak Hawa. Persoalannya, adakah Dalina dan Zaha akhirnya mengetepikan ego mereka untuk pulang beraya bersama-sama Mak Hawa demi mengubati rindu yang sekian lama terpendam? Sama-sama kita nantikan episod terakhir.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail, komitmen DBP untuk menerbitkan drama ini merupakan satu usaha yang signifikan bagi memartabatkan sastera dan bahasa Melayu menerusi medium drama radio.

Drama Sembuh menampilkan penggunaan bahasa yang sarat dengan makna, selain mengekalkan kekuatan elemen sastera melalui konflik dan watak yang dimainkan dalam drama tersebut.

Tambah beliau, kolaborasi antara DBP Wilayah Timur dengan TerengganuFM yang telah menjangkau usia tiga tahun itu membuktikan bahawa drama radio tetap relevan sebagai wadah penyampaian sastera, meskipun berhadapan dengan cabaran era media visual pada masa kini.

Sembuh bukan sekadar sebuah naskhah drama radio biasa, malah merupakan cerminan lara realiti sosial masyarakat hari ini. Karya ini juga menyoroti kisah pengabaian warga emas dan kerapuhan institusi kekeluargaan yang kian meruncing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi