Diterbitkan pada 6 April 2026, 21:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi– “Saya dapati banyak murid yang berbakat dalam bersajak, bercerita dan berpidato. Namun begitu, disebabkan mereka tidak mempunyai ruang dan peluang jadi bakat mereka dipendam.”

Demikian menurut YBrs. Puan Rozita Hassan, iaitu Ketua Panitia Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA), Langkawi, Kedah.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) melalui Panitia Bahasa Melayu telah mengambil inisiatif untuk mencungkil bakat murid tahun 4, 5 dan 6 dalam berkarya dengan menganjurkan Program Minggu Bahasa Melayu. Program yang dijalankan itu bermula pada 5 April 2026 hingga 9 April 2026 melibatkan semua murid tahap dua sekolah berkenaan.

Menurut YBrs. Puan Rozita Hassan lagi, program itu dianjurkan untuk mencungkil bakat terpendam murid yang tidak ditonjolkan.

Di dalam kelas, saya melihat ada murid yang mempunyai bakat tersendiri dalam menyampaikan sajak apabila diminta untuk membaca sajak. Oleh itu, timbul cadangan untuk membuat program ini.

Program yang berlangsung pada Ahad hingga Khamis itu mempertandingkan beberapa kategori pertandingan termasuklah bersajak, bercerita, berpidato dan berpantun. Tema setiap kategori pertandingan adalah berlainan dan bagi kategori bercerita mengetengahkan tema hikayat Melayu klasik.

Setiap murid yang mengambil bahagian dalam pertandingan perlu memakai pakaian tradisional Melayu klasik dan setiap kategori dilakukan pada tempat yang berasingan.

Menurut Murid Tahun 5, iaitu Qalish Quyyum dia sangat teruja mengambil bahagian dalam pertandingan berpidato kerana berminat untuk bercakap dan membaca.

Saya sangat gembira dapat menyertai pertandingan berpidato kerana sebelum ini kawan saya ada berkongsi pengalamannya bertanding dalam kategori berpidato di sekolah lain. Sejak itu, saya menanam minat untuk menyertai pertandingan berpidato.

Program ini akan diteruskan pada tahun hadapan memandangkan sambutan amat menggalakkan daripada murid yang ingin menyertai pertandingan.

Murid mempersembahkan bakat masing-masing dalam Program Minggu Bahasa Melayu yang  mempertandingkan beberapa kategori pertandingan seperti bersajak, bercerita, berpidato dan berpantun.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi