Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perbadanan Putrajaya (PPj) terus memperkukuh usaha melahirkan generasi muda yang berdaya saing melalui penguasaan pelbagai bahasa antarabangsa selari dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk membina rakyat yang kompeten pada peringkat global tanpa mengabaikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta nilai budaya masyarakat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2010, program kelas bahasa anjuran PPj telah memberikan manfaat kepada sebanyak 570 peserta dalam kalangan warga Putrajaya.
Dalam kenyataannya, “Inisiatif ini dilaksanakan dengan kos minimum kepada peserta, manakala kos sebenar pembelajaran termasuk elaun tenaga pengajar dan pengurusan latihan ditanggung oleh PPj.”
Menurut beliau, bagi tahun 2026, program ini diperluaskan dengan pelaksanaan dua kohort, iaitu kohort yang pertama bermula pada 11 April 2026 hingga 14 Jun 2026, manakala kohort yang kedua adalah mulai 11 Julai 2026 hingga 6 September 2026 yang dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 240 peserta.
Jelas beliau, kelas bahasa ini merangkumi bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin dan bahasa Korea. Kelas akan diadakan pada hujung minggu selama lapan sesi di empat Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) Putrajaya, iaitu PPK Presint 8 bagi bahasa Mandarin; PPK Presint 9 bagi bahasa Inggeris; PPK Presint 11 bagi bahasa Arab dan PPK Presint 16 bagi bahasa Korea.
“Program ini menyasarkan penyertaan kanak-kanak dan remaja berumur 7 tahun ke atas dan bagi memastikan komitmen peserta, bayaran pendaftaran dikenakan pada kadar minimum RM20 bagi setiap bahasa dan kohort,” katanya.
Tambah beliau, kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan kelas bahasa komersial di pasaran yang boleh mencecah antara RM320.00 hingga RM480.00 bagi lapan sesi pembelajaran.
Menurut beliau, PPj juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi meneroka pengiktirafan sijil penyertaan program ini sebagai sebahagian daripada aktiviti sokongan dalam Pentaksiran Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PJSK).
Pada masa yang sama, katanya, PPj turut mengalu-alukan pelibatan sektor swasta dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti. Ujarnya, pada tahun ini, Carsome Sdn. Bhd. tampil sebagai rakan strategik dengan sumbangan berjumlah RM40,000.00 bagi menjayakan inisiatif ini.
Tambahnya lagi, melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebanyak 100 keping kad minyak bernilai RM50.00 setiap satu turut disumbangkan kepada golongan asnaf dan B40 di Putrajaya.
“Kerajaan komited untuk memastikan akses terhadap peluang pembelajaran berkualiti terus diperluas secara inklusif dan mampan khususnya kepada generasi muda daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya
Beliau menyeru agar peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Putrajaya demi meningkatkan kemahiran komunikasi, memperluas horizon pemikiran dan memperkukuh daya saing mereka pada masa hadapan.