Diterbitkan pada 16 April 2026, 22:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-12 (SALPBM XII) melabuhkan tirainya hari ini dengan mengemukakan 10 resolusi utama yang memberikan penekanan terhadap usaha memperkasakan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada era digital masa ini.

Seminar yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 15 April dan 16 April 2026 itu menghimpunkan lebih 100 kertas pembentangan daripada ahli akademik serta pakar bahasa dari dalam dan luar negara.

Sesi pembentangan resolusi yang berlangsung di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dikendalikan oleh Pengerusi SALPBM XII, YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram.

10 resolusi SALPBM XII yang digagaskan adalah seperti yang berikut:

  1. Pemeliharaan bahasa dan warisan peradaban etnik hendaklah dilaksanakan untuk menjamin kelangsungan pengetahuan peribumi termasuk penggubalan dasar bahasa keluarga yang efektif bagi transmisi bahasa ibunda dalam keluarga campuran.
  2. Pengajaran bahasa Melayu hendaklah bersifat interaktif selari dengan tahap penguasaan murid dan mencakupi pengurusan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai multidisiplin yang berteraskan akal budi.
  3. Penyatuan kajian bahasa dan sastera hendaklah meneroka kearifan tempatan serta galakan kajian gastronomi sebagai cabang ilmu baharu.
  4. Pendidikan Ulul Albab hendaklah dijadikan teras kurikulum untuk membentuk adab, jati diri, budaya dan kesantunan berbahasa dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
  5. Kesepakatan antara Malaysia-Indonesia hendaklah dipergiat bagi mengurangkan jurang komunikasi antara bahasa Melayu Malaysia dengan bahasa Melayu Indonesia.
  6. Penyebaran penggunaan tulisan Jawi hendaklah dilakukan secara meluas termasuklah dalam aplikasi digital.
  7. Pemeliharaan bahasa dan budaya etnik di Malaysia hendaklah dilakukan secara serius untuk memperkukuh kelangsungan peradaban komuniti bangsa.
  8. Kecerdasan buatan (AI) memerlukan sentuhan kemanusiaan dan nuansa bangsa untuk mengembangkan kognitif dan minda yang kritikal.
  9. Penerbitan buku dan jurnal bahasa, budaya dan komunikasi warisan hendaklah dirancakkan sebagai satu kesinambungan ilmu dan kewibawaan akademia.
  10. Persidangan bahasa, sastera dan budaya warisan Melayu hendaklah diadakan secara berkala supaya impaknya dapat dikongsikan bersama secara berterusan.

YBrs. Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram menegaskan bahawa penganjuran kali ini berjaya menjadi wadah perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah yang menyentuh pelbagai aspek perkembangan bahasa Melayu, termasuk peranan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, dalam Majlis Penangguhan SALPBM XII, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa semua peserta perlu meneruskan usaha penyelidikan dan pembudayaan bahasa walaupun seminar sudah berakhir.

Hal ini bagi memastikan setiap resolusi yang dibentangkan tidak hanya bersifat simbolik tetapi dilaksanakan secara berimpak.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBrs. Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Penangguhan SALPBM XII di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan seminar tersebut sebagai landasan akademik penting yang bukan sahaja memperkaya penyelidikan linguistik Melayu, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat global.

“Penemuan yang dibentangkan bukan sekadar data, tetapi input berharga yang menyumbang kepada kemajuan peradaban bangsa,” ujar beliau. 

Beliau turut menekankan tentang kepentingan penerbitan hasil kajian tidak hanya terhenti di ruang seminar semata-mata. Usaha penerbitan dan pendokumentasian hasil penyelidikan, termasuk penerbitan jurnal berindeks seperti pangkalan data (scopus) akan dapat memastikan kesinambungan ilmu serta memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dinamik.

Kredit Foto: Mohamad Firdauz Abdul Radzak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi