Diterbitkan pada 17 April 2026, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim — Pembangunan Interactive E-Module Bahasa Melayu menjadi fokus utama dalam pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Appbooks Sdn. Bhd., Appmedia Inc. (Korea Selatan) dan Sahmyook University dalam usaha memperkasakan literasi awal melalui pendekatan pedagogi digital, semalam.

YBhg. Profesor Dr. Suriani bersama-sama Mohd Musyaffa’ (kiri), Dr. Kyunghyun (tiga dari kanan) dan wakil Appmedia Inc. (kanan) mempamerkan dokumen MoA yang telah ditandatangani pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, YBhg. Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata, inisiatif tersebut dimeterai melalui kerjasama strategik yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan serta penambahbaikan e-modul interaktif Bahasa Melayu khusus untuk murid Tahun 4.

Menurut beliau, modul tersebut direka selaras dengan Pendekatan Matriks Pembelajaran Tahun 4 yang menekankan pembelajaran holistik, berasaskan kompetensi dan bermakna.

Kerjasama ini bukan sekadar memberikan tumpuan terhadap pembangunan kandungan, malah merupakan satu usaha ilmiah bagi menilai serta meningkatkan keberkesanan teknologi pendidikan digital agar benar-benar memberikan impak terhadap proses pembelajaran Bahasa Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, semalam.

YBhg. Profesor Dr. Suriani (barisan hadapan, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama-sama Dr. Kyunghyun dan barisan pengurusan UPSI di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau berkata, pembangunan e-modul interaktif itu turut mencerminkan komitmen UPSI dalam usaha menyokong keutamaan pendidikan negara, khususnya bagi memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan melalui inovasi digital.

Inisiatif ini berpotensi untuk diperluas ke peringkat nasional serta menjadi rujukan dalam pembangunan modul digital Bahasa Melayu, sekali gus menyokong agenda pendigitalan pendidikan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Appbooks Sdn. Bhd., Mohd Musyaffa’ Mohd Fadzin berkata pembangunan e-modul tersebut memberikan penekanan terhadap aspek literasi awal yang menjadi asas penting dalam pembelajaran Bahasa Melayu.

Literasi awal merupakan asas bagi keseluruhan perjalanan pendidikan seseorang pelajar. Justeru, pendekatan yang digunakan perlu menarik, interaktif, mudah difahami serta mampu membina minat dan keyakinan murid sejak awal.

Menurutnya, e-modul interaktif itu dibangunkan dengan mengintegrasikan pedagogi digital berpusatkan murid serta elemen multimedia seperti visual, audio dan kuiz dengan respons masa nyata bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

Tambah beliau, inisiatif tersebut bukan sekadar menghasilkan produk digital, sebaliknya membina model pembelajaran Bahasa Melayu yang boleh diskalakan ke peringkat yang lebih luas termasuk prasekolah dan sekolah rendah di seluruh negara.

Pada era digital hari ini, cabaran utama bukan lagi akses terhadap ilmu, tetapi cara kita mereka bentuk pengalaman pembelajaran Bahasa Melayu yang benar-benar berkesan.

Sementara itu, Naib Presiden Sahmyook University, Profesor Dr. Kyunghyun Suh pula berkata kolaborasi tersebut telah membuka ruang ke arah pembangunan model pendidikan bahasa yang berimpak tinggi melalui perkongsian kepakaran antarabangsa.

Jelas beliau,

Kerjasama ini berpotensi memperkukuh inovasi dalam pengajaran Bahasa Melayu serta memperluas jaringan penyelidikan pendidikan pada peringkat global.

Inisiatif pembangunan Interactive E-Module Bahasa Melayu ini dilihat sebagai satu langkah progresif dalam mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan agar lebih dinamik, relevan dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi