Diterbitkan pada 26 April 2026, 02:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh — Suasana di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pameran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Utara 2026 di Stadium Indera Mulia pada Sabtu lalu bertambah meriah apabila Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Yuneswaran Ramaraj, meluangkan masa menyertai aktiviti Kuiz Silang Kata bersama-sama dengan para pengunjung.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Yuneswaran Ramaraj, meluangkan masa menyertai aktiviti Kuiz Silang Kata di reruai DBP.

Kehadiran beliau yang turut meninjau pelbagai pengisian di reruai berkenaan mencuri perhatian pengunjung, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap usaha memperkasakan budaya membaca, memartabatkan bahasa kebangsaan serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program berteraskan ilmu.

Pameran Dekad Membaca Kebangsaan yang berlangsung dari 23 April hingga 26 April 2026 itu diadakan bagi menyokong Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Zon Utara 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara bersama-sama dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan tema “Bersama Membina Negara Bangsa”.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Yuneswaran Ramaraj meneliti dapatan kajian Amalan Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 di reruai DBP.

Sepanjang empat hari penganjuran, pameran tersebut menarik lebih 400 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur. Sambutan terhadap aktiviti itu dilihat sebagai petanda positif terhadap usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Selain Kuiz Silang Kata, pengunjung turut menyertai aktiviti lain seperti Piramid Kata yang dikendalikan oleh Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. Aktiviti berbentuk santai dan interaktif itu dirangka bagi menjadikan pembelajaran bahasa lebih menyeronokkan, di samping memupuk minat membaca dalam suasana harmoni.

Yang turut hadir mengiringi lawatan tersebut termasuklah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Encik Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), YBrs. Encik Zulkifli Hashim; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, YBrs. Encik Edy Irwan Zulkafli serta Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Selain pameran, sambutan itu turut dimeriahkan dengan pelbagai program lain merangkumi aspek ilmu, budaya, sukan dan hiburan seperti Bacaan Santai Kopi@Baca, Kembara Belia Cinta Ilmu, Pertandingan Pidato Negara Bangsa, Pesta Buku Perak serta persembahan silang budaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi