Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Pertandingan Pidato Karnival Perpaduan Peringkat Negeri Perak menghimpunkan penyertaan golongan belia dari seluruh negeri tersebut bagi mengetengahkan idea dan hujah yang bernas berkaitan dengan pembinaan negara bangsa menerusi pembudayaan ilmu.
Program yang diadakan di Stadium Indera Mulia semalam merupakan antara acara utama bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Utara 2026.
Dengan mengangkat tema “Pembudayaan Ilmu dalam Kalangan Belia ke Arah Pengukuhan Negara Bangsa”, pertandingan itu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat kepimpinan, keberanian berucap serta pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Perpaduan, Encik Rowland anak Arah bersama-sama dengan Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Ketua Juri, Encik Muhammad Azzam Johari dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Encik Naim Al Amin.
Pertandingan tersebut menyaksikan Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris Shah muncul johan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.00 selain turut merangkul Anugerah Pakaian Terbaik bernilai RM150.00.
Naib johan dimenangi oleh Nur Alifah Ilyana Mohd Fadhilah yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700.00, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Faizal Isahak yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00.
Sementara itu, Anugerah Pemidato Harapan bernilai RM150.00 dimenangi oleh Nur Futisha Maisarah Rohizad.
Dalam ulasannya, Ketua Juri, Encik Muhammad Azzam berkata secara keseluruhan para peserta telah menunjukkan tahap penguasaan yang baik terhadap tema yang diberikan.
Menurut beliau, isi pidato yang disampaikan adalah relevan dengan huraian yang jelas serta menonjolkan peranan ilmu sebagai teras pembangunan diri, masyarakat dan negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 18 peserta telah mendaftar untuk menyertai pertandingan berkenaan, namun hanya 13 peserta berjaya hadir dan mengambil bahagian.

Menurutnya, penyertaan itu tetap menunjukkan minat yang baik dalam kalangan belia terhadap aktiviti pengucapan awam dan wacana ilmu.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat beberapa aspek yang masih boleh ditambah baik oleh peserta bagi meningkatkan mutu persembahan pada masa akan datang.
Katanya, dari segi pengolahan isi, sebahagian peserta masih cenderung menyampaikan hujah secara umum tanpa disokong dengan contoh konkrit atau data semasa yang mampu menguatkan pendirian mereka.
Selain itu, dari sudut bahasa, penggunaan gaya retorik dan variasi ayat perlu diperkemaskan agar penyampaian menjadi lebih menarik, berkesan serta mampu memikat perhatian khalayak.
Beliau juga menekankan tentang aspek persembahan pentas yang merangkumi intonasi suara, bahasa tubuh dan gaya diri kerana elemen tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan mesej dapat disampaikan dengan meyakinkan.
Para peserta mempunyai potensi besar sebagai agen perubahan dalam membudayakan ilmu. Dengan penambahbaikan dari segi isi, gaya penyampaian dan penguasaan pentas, mereka mampu menjadi pemidato yang lebih cemerlang serta menyumbang terhadap pembinaan negara bangsa yang kukuh,” katanya lagi.
Sebagai rekod, penganjuran program ini dilihat selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh perpaduan nasional menerusi pelibatan aktif belia dalam aktiviti intelektual, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat.