Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Bahasa Melayu diharap akan terus menjadi jambatan persahabatan antara Malaysia dengan China.”
Demikian antara yang kata-kata yang diucapkan oleh mahasiswa dalam bidang Bahasa dan Kesusateraan Melayu di Guangdong University of Foreign Studies, Saudari Dai Yixin dan mahasiswa jurusan Bahasa Melayu di Universiti Minzu Yunan, Saudari Lu Yu Ping ketika menjadi tetamu dalam rancangan Inspirasiku, terbitan IKIMfm pada pagi tadi.

Menurut Saudari Dai Yixin yang mula belajar bahasa Melayu sejak tahun 2020, kefasihan yang dimilikinya sekarang adalah disebabkan oleh kekerapan latihan yang dilakukan.
“Pada mulanya, saya berasa sangat susah untuk belajar bahasa Melayu terutamanya apabila menyebut perkataan yang mempunyai huruf /r/ kerana bahasa Cina tidak mempunyai huruf tersebut,” jelasnya.
Dia yang akan bergraduasi pada tahun hadapan bercita-cita ingin bekerja dalam bidang bahasa Melayu seperti menjadi pensyarah jika mempunyai peluang.
Saudari Lu Yu Ping yang bercita-cita ingin bekerja di Malaysia pula memaklumkan mulai mempelajari bahasa Melayu pada tahun 2023. Jelasnya, dia berminat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana bahasanya yang unik dan kemahiran berbahasa Melayunya adalah lebih baik berbanding dengan bahasa Inggeris.
Sementara itu, Profesor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaya yang juga Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, iaitu YBhg. Profesor Dr. Indirawati Zahid berkata bahawa sehingga kini terdapat 18 buah institusi di China yang menawarkan kursus Pengajian Bahasa Melayu.
Ujar beliau,
Kebanyakan tenaga pengajar yang dihantar ke sana mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu, malahan ada juga antara mereka yang mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Bahasa Melayu yang diajar di China merupakan bahasa Melayu tinggi, iaitu yang terbaik dari segi tatabahasanya, pemilihan perkataan dan sebutannya.
Menurut beliau, kebanyakan pelajar di China berminat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana potensinya yang besar dari segi peluang pekerjaan terutamanya dalam industri automatif yang semakin berkembang di Malaysia.
Tambah beliau, kerjasama dalam industri automatif antara Malaysia-China ini memerlukan kemahiran penguasaan bahasa Melayu yang baik membantu bagi melancarkan urusan kerja dan merapatkan komunikasi interpersonal antara pekerja.
Katanya, dua orang pelajar jurusan bahasa Melayu yang hadir hari ini merupakan sebahagian daripada 42 orang pelajar daripada 13 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di China yang menghadiri Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026.