Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 10:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 bukan sekadar pertandingan berbalas pantun, tetapi juga sebagai platform untuk menguji penguasaan bahasa, kreativiti dan ketangkasan berfikir pengamal media.

Pesta pantun ini juga merupakan platform yang diwujudkan demi mengangkat seni warisan bangsa, iaitu pantun ke pentas yang lebih luas.

Ketua Juri Pesta Pantun HAWANA-DBP yang juga merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Azimin Daud berkata, pengamal media mempunyai kelebihan tersendiri kerana tuntutan kerjaya masing-masing yang terdedah dengan pelbagai bidang ilmu.

“Jadi, inilah istimewanya apabila peranan ini dipraktikkan dalam pertandingan pantun yang bukan sahaja menguji kreativiti, tetapi juga keupayaan berfikir pengamal media secara spontan dan kritis,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program “Apa Khabar Malaysia” terbitan BernamaTV, semalam.

Menurut beliau, dari aspek penilaian, juri akan memberikan tumpuan terhadap ketepatan bahasa, isi dan logik penyampaian dengan komponen bahasa, iaitu isi akan menyumbang sebanyak 80 markah, sementara persembahan pula sebanyak 20 markah.

Ujarnya, pantun bukan sekadar permainan kata atau mencari rima, sebaliknya menuntut ketepatan makna, logik dan kefahaman terhadap setiap bait yang dilafazkan.

Sementara itu, Pengacara dan Personaliti TV3 yang juga merupakan Jurupantun Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026, YBrs. Encik Ahmad Fedtri Yahya berkata, elemen spontan menjadi kekuatan utama pertandingan, tetapi pada masa yang sama menuntut peserta mengawal emosi, ritma dan keberanian ketika berada di pentas pertandingan.

“Pantun perlu ada getaran, perlu ada ‘elektrik’ dan semasa masuk gelanggang, perlu ada semangat jika tidak mahu pantun menjadi hambar,” jelasnya.

Tambah beliau, persembahan bukan sekadar pada pakaian atau aksesori, tetapi jiwa pemantun sendiri perlu hidup untuk menceriakan gelanggang.

Menurut beliau, keunikan sesebuah pantun terletak pada keupayaan pemantun menterjemahkan idea spontan menjadi susunan kata yang indah, berirama dan memberikan kesan kepada pendengar.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama DBP akan berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf Jalan Conlay pada Sabtu ini.

Program ini merupakan antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada bulan hadapan.

Kredit Foto: FACEBOOK BERNAMA TV
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi