Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 01:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan buku Daftar Kata Bahasa Orang Asli, iaitu Daftar Kata Bahasa Senoi – Bahas Melayu, Daftar Kata Bahasa Negrito – Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Melayu Proto – Bahasa Melayu bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada petang tadi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP mewakili Ketua Pengarah, YBrs. Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed penerbitan buku ini merupakan hasil kerjasama strategik antara DBP dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha mendokumentasikan, memelihara dan melestarikan khazanah bahasa sukuan Orang Asli yang semakin terancam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP , YBrs. Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed semasa berucap mewakili Ketua Pengarah dalam Majlis Pelancaran  Buku Daftar Kata Bahasa Orang Asli di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik, pemuliharaan bahasa Orang Asli bukan sahaja penting untuk mengekalkan identiti budaya komuniti tersebut, malah turut berperanan sebagai wahana utama penyampaian pengetahuan tradisional.”

Beliau menjelaskan lagi bahawa melalui pendekatan yang saintifik dan sistematik dalam penyusunan daftar kata, kekayaan leksikal bahasa Orang Asli dapat direkodkan dengan lebih tersusun agar tidak hilang ditelan oleh arus urbanisasi dan perubahan sosiobudaya.

Buku ini diharapkan dapat menjadi sumber rujukan autoritatif kepada penyelidik linguistik, ahli antropologi, ahli sejarah, pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum yang ingin mendalami warisan bahasa negara yang amat berharga.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Buku Daftar Kata Bahasa Orang Asli telah dilancarkan oleh Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor.

Dalam majlis tersebut, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor berkata bahawa majlis ini merupakan satu daripada mercu tanda penting dalam kalendar ilmu bahasa Melayu, khususnya dalam konteks pengumpulan khazanah bahasa negara.

Keistimewaan majlis ini lebih bermakna apabila kita bersama-sama meraikan penerbitan Daftar Kata Bahasa Orang Asli, sebuah karya ilmiah yang komprehensif kerana merangkumi tiga komponen utama, iaitu Daftar Kata Bahasa Melayu Proto – Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Negrito – Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Senoi – Bahasa Melayu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, YBrs. Tuan Ir. Ts. Mahat a/l Mat Dong; Ketua Editor Bahagian Majalah (menjalankan Tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd Shukor dan penulis buku, YBrs. Dr. Sharifudin Yusop.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi