Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Filipina dan Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia Melayu-Polinesia. Hal ini bermaksud, kedua-dua bahasa ini berkongsi susur galur yang sama dan mempunyai beberapa ciri linguistik yang sama. Contohnya, kedua-dua bahasa mempunyai beberapa kata pinjaman daripada bahasa Arab, bahasa Sanskrit, bahasa Inggeris, bahasa Portugis dan bahasa Sepanyol.
Bahasa Melayu dan bahasa Filipina juga mempunyai banyak persamaan disebabkan oleh faktor hubungan perdagangan antara Kerajaan Melayu Melaka dengan kerajaan lama di Filipina pada abad ke-15 hingga abad ke-16. Dalam hubungan perdagangan ini, bahasa Melayu digunakan oleh penduduk di Filipina ketika berinteraksi dengan pedagang asing, terutamanya pedagang Kerajaan Melayu Melaka. Maka itu, tidak hairanlah apabila terdapat beberapa kata dalam bahasa Melayu yang digunakan pada waktu itu kekal digunakan dalam bahasa Filipina hingga hari ini.
Kedudukan Filipina yang berdekatan dengan Malaysia, selain hubungan perdagangan dan budaya menyebabkan beberapa perbendaharaan kata dan pengaruh linguistik dikongsi bersama. Selain itu, kedua-dua bahasa ini menggunakan abjad Latin dalam tulisan masing-masing.
Bahasa Melayu menggunakan abjad Latin yang diubah suai yang dikenali sebagai tulisan Rumi disebabkan oleh pengaruh empayar Belanda dan British, serta tulisan Jawi, iaitu huruf yang berasal daripada bahasa Arab. Bahasa Filipina pula menggunakan abjad Latin disebabkan oleh pengaruh empayar Sepanyol dan British.
Selain itu, sebutan bunyi dan vokal tertentu juga serupa dalam kedua-dua bahasa ini, terutamanya bagi penutur dari wilayah tertentu. Bahagian yang paling mudah ialah kata yang serupa dan fonetik yang hampir sama bagi kedua-dua bahasa. Antara kedua-dua bahasa ini, huruf yang paling kerap digunakan ialah konsonan “r” dan konsonan “t”, serta terdapat perbezaan huruf apabila hurufnya berada di tengah-tengah kata.
Bagi orang Filipina, konsonan “c” disebut sebagai “s” jika berada di tengah-tengah kata, manakala konsonan “k” disebut sebagai “ch” pada awal dan akhir kata. Di samping itu, kedua-dua bahasa ini juga mengandungi bunyi schwa, e.
Dari sudut pembinaan ayat, pengguna bahasa Melayu bebas menggunakan ayat aktif atau ayat pasif. Penggunaan kedua-dua bentuk ayat ini agak seimbang asalkan memenuhi syaratnya, iaitu penggunaan imbuhan dan struktur ayat seiring dan sejajar.
Dalam bahasa Filipina juga, terdapat ayat aktif dan ayat pasif. Namun begitu, penggunaan ayat pasif jarang-jarang digunakan pada zaman ini kerana hanya digunakan dalam puisi dan penulisan akademik.
Bahasa Melayu dan bahasa Filipina mempunyai variasi dan dialek serantau. Bahasa Melayu mempunyai variasi di Malaysia, Indonesia dan Brunei, serta mempunyai dialek yang berbeza-beza bergantung pada sempadan negeri. Bahasa Filipina pula mempunyai banyak bahasa dan dialek serantau, seperti Tagalog, Cebuano dan Ilocano.
Terdapat banyak bunyi, makna dan ejaan yang hampir sama antara bahasa Melayu dengan bahasa Filipina yang berkaitan dengan istilah anggota badan seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1.
Jadual 1 Kata yang mirip tentang anggota badan.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
hati | atay |
hidung | ilong |
kuku | kuko |
limpa | limpa/pali |
mata | mata |
otak | utak |
telinga | tenga |
Di samping itu, keadaan hutan hujan yang luas dan garis tepi laut yang panjang menjadikan Malaysia dan Filipina sebagai tempat tinggal bagi pelbagai jenis mamalia. Dianggarkan bahawa terdapat sebanyak 13% mamalia dunia berada di kedua-dua negara ini. Daripada seluruh mamalia itu, terdapat beberapa mamalia yang namanya sama di kedua-dua negara ini seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2 Kata yang mirip tentang nama mamalia.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
anai-anai | anay |
anak kucing | kuting |
babi | baboy |
belalang | balang |
biawak | bayawak |
bilis (ikan) | dilis |
buaya | buwaya |
kambing | kambing |
kerbau | kalabáw /carabow |
merpati (burung) | kalapati |
nyamuk | lamok |
pipit (burung) | pipit |
rusa | usa |
tambang (ikan) | tamban |
Penggunaan nombor pula sangat meluas dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia bagi tujuan pengiraan. Bahasa Melayu dan bahasa Filipina juga tidak terkecuali daripada penggunaan kosa kata yang berkaitan dengan nombor. Banyak nombor yang terdapat dalam kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa Sanskrit, bahasa Jawa dan bahasa Minang.
Contoh kata tentang nombor yang mirip dalam bahasa Melayu dan bahasa Filipina ini dapat dilihat dalam Jadual 3.
Jadual 3 Kata yang mirip tentang nombor.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
empat | apat |
lima | lima |
enam | anim |
ratus | gatus |
Hubungan antara negara Malaysia dengan negara Filipina boleh dikatakan rapat kerana kedua-dua negara ini berkongsi perairan, penduduk dan budaya. Selain kata dari aspek tersebut, kemiripan lain dapat dilihat dalam beberapa perkara seperti objek, sifat, kata ganti nama, sayur, kata kerja, arah, harga dan waktu.
Kemiripan kata ini ditunjukkan dalam Jadual 4 hingga Jadual 12.
Jadual 4 Kata yang mirip tentang manusia.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
anak | anak-anak |
bini (isteri) | bini (perempuan simpanan) |
guru | guro |
lelaki (maskulin) | lalaki |
Jadual 5 Kata yang mirip tentang objek.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
bulan | buwan |
daun | dahon |
jalan | dalan |
kepulauan | kapuluan |
langit | langit |
periuk | palayok |
pintu | pinto |
senjata | sandata |
Jadual 6 Kata yang mirip tentang sifat.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
lembut | malambot |
sakit | masakit |
Jadual 7 Kata yang mirip tentang kata ganti nama.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
aku, saya | ako |
engkau, awak | ikaw |
Jadual 8 Kata yang mirip tentang sayur.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
terung | talong |
bawang putih | bawang |
Jadual 9 Kata yang mirip tentang kata kerja.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
makan | makan (Ilocano)/kain |
minum | inum |
patah balik | balik |
lompat | lumpat |
Jadual 10 Kata yang mirip tentang arah.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
kanan | kanan |
dalam | dalam/loob |
luar | luwal/labas |
Jadual 11 Kata yang mirip tentang harga.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
murah | mura |
mahal | mahal |
Jadual 12 Kata yang mirip tentang waktu.
Bahasa Melayu | Bahasa Filipina |
tengah hari | tanghali |
Secara keseluruhannya, bahasa Melayu dan bahasa Filipina terbukti mirip dari sudut bunyi dan makna. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat perkaitan yang menghubungkan kata yang hampir sama tersebut. Hal ini ditambah dengan pengaruh bahasa asing terhadap kedua-dua bahasa ini.
Oleh itu, pengguna kedua-dua bahasa ini seharusnya meraikan persamaan ini kerana kedua-dua bahasa ini berasal daripada rumpun yang sama. Menerusi perkongsian kosa kata yang mirip dalam kedua-dua bahasa ini, sesiapa yang ingin memahami bahasa Melayu dan bahasa Filipina untuk tujuan pelancongan atau pekerjaan akan menjadi lebih mudah.