Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBayan Lepas – Menepati aspirasi hasrat kerajaan dalam usaha meletakkan bahasa kebangsaan pada peringkat dunia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melantik Duta Bahasa Melayu dalam majlis Simposium Perancangan Strategi Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di China.
Dengan pelantikan Duta Bahasa Melayu ini, DBP memberikan pengiktirafan kepada sumbangan individu, universiti dan institusi yang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Pada majis ini, DBP menyampaikan watikah Duta Bahasa Melayu kepada Beijing Foreign Studies University (BFSU), dan watikah Duta Kecil Bahasa Melayu kepada semua universiti di China yang hadir dalam majlis simposium tersebut.

Pelantikan Duta Bahasa Melayu ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dengan tepat dan betul, tetapi juga untuk melindungi dan mengembangkannya dengan mengubah mentaliti masyarakat serta mewujudkan keyakinan terhadap kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara bagi semua bangsa.
Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, beliau merakamkan penghargaan kepada YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara yang berusaha merintis jalan melalui pelbagai kegiatan memartabatkan bahasa Melayu dan Pengajian Melayu di negara China.
Saya difahamkan, di negara China sudah mempunyai 17 buah universiti yang menawarkan program Pengajian Melayu pada peringkat ijazah, diploma dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai mata pelajaran elektif.
YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Hj. Awang Sariyan turut diundang untuk menyampaikan syarahan yang berjudul “Upaya Mengangkat Martabat Bahasa Melayu”, manakala YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar pula dengan syarahannya yang bertajuk “Malay Contributions to Chinese Language, Literature and Culture”.
YBhg. Dato’ Haji Shushilil Azam Shuib, Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut hadir berkata bahawa usaha kedua-dua negara dalam mengangkat martabat bahasa di mata dunia disambut baik oleh pihak KPT, terutamanya dengan pelibatan universiti awam di Malaysia.

Simposium anjuran DBP bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM) ini berlangsung di Hotel Amari SPICE, Pulau Pinang, dan dihadiri oleh 70 orang wakil universiti dari China dan Malaysia yang menawarkan Kursus Bahasa Melayu serta Pengajian Melayu di universiti masing-masing.
Simposium ini dilaksanakan selepas berakhirnya Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia–China (PERSOMANA) yang berlangsung pada 10 Mei 2024 bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China.