Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak beberapa tahun kebelakangan ini, suatu perkembangan yang positif dapat dilihat dalam bidang penulisan apabila ahli profesional kesihatan dari pelbagai latar belakang pekerjaan tampil aktif berkongsikan penulisan ilmiah di platform media sosial. Ahli profesional tersebut termasuklah doktor perubatan, doktor pergigian, ahli farmasi, jururawat dan beberapa orang lagi yang menulis untuk mengupas isu dan topik penting berkaitan dengan kesihatan. Meskipun penulisan menerusi platform media sosial mungkin dianggap sebagai kurang formal oleh sesetengah pihak, namun tahap capaian yang lebih meluas daripadanya tidak harus dinafikan sepenuhnya.
Tambahan pula, perubahan zaman dan teknologi yang terlalu pantas telah menyebabkan permintaan terhadap penulisan tentang kesihatan semakin meningkat. Sebilangan besar individu dalam masyarakat kini semakin cakna akan tahap kesihatan masing-masing. Hal ini menyebabkan mereka sentiasa mencari sumber maklumat yang boleh dijadikan sebagai rujukan. Dari satu perspektif yang lain pula, informasi sahih tentang kesihatan penting untuk mengimbangi perubahan gaya hidup masyarakat yang cenderung dipengaruhi oleh budaya dan tingkah laku yang kurang sihat.
Kepentingan Penulisan tentang Kesihatan
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberikan pengajaran kepada manusia dari pelbagai sudut. Selain menguji keampuhan sistem kesihatan untuk membendung penularan wabak tersebut, musibah itu turut mengajar tentang kepentingan mengawal penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak sahih dan mampu menggugat ketenteraman awam. Hal ini dikatakan demikian kerana sepanjang tempoh pandemik, pelbagai informasi yang mengelirukan telah tersebar dan memberikan impak kepada langkah pengawalan dan pencegahan wabak. Bahkan, maklumat yang tidak sahih itu juga menyebabkan segelintir individu lambat mendapatkan rawatan walaupun telah mengalami gejala yang serius dan mengancam nyawa.
Tambah membimbangkan, kewujudan maklumat yang mengelirukan ini tidak bermusim tetapi sebenarnya berlaku secara berterusan dan telah menyebabkan kecelaruan informasi dalam kalangan masyarakat. Mitos berkaitan dengan rawatan perubatan masih banyak diperkatakan sehingga menimbulkan salah faham. Misalnya, hingga kini terdapat sebilangan kecil individu yang mempercayai bahawa ubat-ubatan yang diperoleh di hospital dapat merosakkan buah pinggang.
Selain itu, terdapat juga individu yang memilih untuk mempercayai maklumat yang disampaikan oleh penjual produk alternatif yang tidak terjamin kualiti, keberkesanan dan keselamatannya. Natijahnya, golongan inilah yang akhirnya menderita akibat komplikasi yang berpunca daripada kegagalan mengawal penyakit dari peringkat awal.
Kedua-dua senario ini menggambarkan bahawa tahap pemahaman masyarakat tentang hal berkaitan dengan kesihatan masih perlu dipertingkat. Tinjauan Kebangsaan Penyakit dan Morbiditi 2019 yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendapati bahawa satu daripada tiga orang individu dewasa di negara ini mempunyai tahap literasi kesihatan yang dikategorikan sebagai rendah. Usaha untuk meningkatkan tahap literasi kesihatan harus dilakukan secara proaktif kerana pemahaman terhadap kesihatan akan membantu masyarakat, khususnya mereka yang menghidap penyakit tertentu untuk membuat keputusan penting tentang kaedah rawatan dan tahap kesihatan mereka.
Lantaran itu, penulisan yang menerangkan isu kesihatan dan merungkai salah faham yang acap kali menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat harus dipergiat. Ahli profesional kesihatan disarankan untuk terus aktif memberikan pendidikan kepada masyarakat menerusi penulisan.
Usaha ini wajar dikembangkan melangkaui pelbagai bentuk platform lain seperti makalah dan rencana yang disiarkan dalam akhbar, majalah atau buku ilmiah, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun salinan digital. Bahkan, tidak salah juga bagi ahli profesional kesihatan menterjemahkan penulisan mereka dalam bentuk skrip drama yang boleh dilakonkan dan ditayangkan kepada umum.
Usaha menulis oleh ahli profesional kesihatan harus dilihat sebagai satu daripada langkah bagi mendukung hasrat pihak pentadbir yang menggagaskan suatu reformasi kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara. Sebagai contohnya, Kertas Putih Kesihatan telah menggariskan bahawa fokus sistem perkhidmatan kesihatan harus beralih kepada corak pemikiran baharu, iaitu untuk memastikan masyarakat kekal sihat dan tidak tertumpu hanya kepada perawatan di pusat kesihatan.
Hasrat ini boleh direalisasikan melalui promosi kesihatan serta langkah pencegahan yang diperkasakan dan dilakukan secara berterusan. Oleh itu, penulisan oleh ahli profesional kesihatan dapat bertindak sebagai satu cara dalam usaha mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat.
Usaha Menggalakkan Ahli Profesional Kesihatan Menulis
Menyedari keperluan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kesihatan menerusi promosi yang berterusan, lebih banyak ahli profesional kesihatan disarankan untuk menulis. Usaha ini boleh dimulakan dengan menulis panduan yang berguna kepada masyarakat untuk mengurus penyakit atau kesihatan secara umum di rumah.
Sebagai contohnya, doktor perubatan mungkin boleh menulis tentang panduan untuk mengawal tekanan darah. Doktor pergigian pula boleh menulis tentang cara melakukan pemeriksaan kendiri mulut di rumah. Ahli farmasi juga boleh menulis berkaitan dengan kaedah penyimpanan ubat-ubatan yang betul, manakala jururawat boleh berkongsikan maklumat tentang panduan penjagaan luka.
Dalam proses menulis, ahli profesional kesihatan hendaklah menggarap penulisan dalam laras bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat. Istilah perubatan yang terlalu teknikal haruslah dielakkan. Walau bagaimanapun, sebagai individu yang memainkan peranan untuk meningkatkan literasi kesihatan, ahli profesional kesihatan tidak dapat lari daripada memperkenalkan istilah penting yang relevan dan harus dibiasakan sebagai kosa kata harian dalam masyarakat. Misalnya, istilah diabetes dan hipertensi wajar diperkenalkan kepada masyarakat sebagai alternatif yang lebih tepat kepada kencing manis dan darah tinggi.
Selain itu, ahli profesional kesihatan juga digalakkan untuk menulis dalam pelbagai bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Jika diamati pada bahan bacaan yang boleh diakses menerusi Internet, banyak informasi kesihatan ditulis dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itulah, penulisan dalam bahasa Melayu yang baku sangat diperlukan untuk menjadi rujukan kepada kumpulan masyarakat yang fasih dan dapat memahami bahasa Melayu dengan lebih baik.
Bukan itu sahaja, penulisan berkaitan dengan kesihatan harus dijadikan sebagai satu titik temu yang dapat menjalinkan kolaborasi antara pelbagai pihak dengan ahli profesional kesihatan yang menulis. Kerjasama dari segi ruang penerbitan merupakan antara inisiatif yang dapat menyokong usaha merancakkan penulisan tentang kesihatan.
Pengendali portal atau laman sesawang, pihak media dan rumah penerbitan juga disarankan untuk bersama-sama menjayakan hal ini. Kerjasama antara Program Perkhidmatan Farmasi, KKM dengan pelbagai pihak penerbitan, misalnya Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan contoh yang terbaik untuk menunjukkan kejayaan kerjasama yang telah terjalin.
Ahli Profesional Kesihatan Harus Giat Menulis
Peranan ahli profesional kesihatan untuk memberikan penerangan serta mendidik pesakit dan masyarakat telah berkembang seiring dengan perubahan masa. Informasi tentang kesihatan tidak lagi disampaikan menerusi perundingan dan penerangan semasa di pusat kesihatan. Kini, penerangan boleh dilakukan melalui penulisan berkaitan dengan kesihatan melalui pelbagai medium penyampaian.
Penulisan yang dihasilkan oleh ahli profesional kesihatan diharapkan dapat menjadi rujukan dan panduan kepada masyarakat untuk membuat keputusan yang penting terhadap kesihatan mereka. Ahli profesional kesihatan pula diseru untuk kekal konsisten menjayakan usaha murni untuk meningkatkan tahap kefahaman masyarakat tentang kesihatan.